MELAKA, 12 Mac (Bernama) — Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengingatkan orang ramai supaya tidak panik susulan gambar tular yang menunjukkan kerja pembersihan dilakukan di sebuah syarikat automotif di Alor Gajah dekat sini.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ismail Ali berkata gambar tular melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam itu sebenarnya hanyalah prosedur operasi standard (SOP) biasa.
“Merujuk kepada satu berita tular yang telah disebarkan melalui aplikasi WhatsApp berkenaan kes positif penyakit COVID-19 di kilang automotif di Melaka, jabatan ingin menjelaskan bahawa kes itu masih dalam siasatan.
“Gambar yang tular mengenai kes di kilang automotif itu adalah SOP bagi siasatan kes, kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Ismail berkata orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06-2345 999 atau melalui e-mel: [email protected] untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan berhubung virus COVID-19.
Terdahulu, tular sekeping gambar kelihatan sebuah ambulans dan beberapa petugas perubatan memakai pakaian perlindungan bersama beberapa pekerja kilang yang turut memakai penutup mulut dan hidung di kilang berkenaan.
Sumber: BERNAMA