Siakap Keli
Gambar: WHO

Terkini: Covid-19 Kini Diisytihar Sebagai Wabak Pandemik – WHO

Koronavirus atau Covid-19 yang telah ‘menyerang’ sekurang-kurangnya 114 buah negara seluruh dunia dan meragut lebih 4,000 nyawa, kini diisytiharkan secara rasmi sebagai ‘pandemik’ seperti yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pandemik merujuk kepada penyakit berjangkit yang merebak melalui populasi manusia dan merentasi kawasan luas hingga melepasi sempadan negara dan benua, malah ke seluruh dunia.

”WHO telah menilai penularan wabak ini sepanjang masa dan kami sangat bimbang dengan tahap penyebaran dan keterukan wabak ini, serta tahap tindakan yang tidak mencukupi.

”Oleh itu, kami telah membuat penilaian bahawa COVID-19 boleh dikategorikan sebagai pandemik,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi siaran langsung.

Tambahnya, pandemik bukan suatu kata yang boleh digunakan secara ringan atau cuai.

Ianya merupakan satu perkataan yang jika disalah guna boleh membawa kepada ketakutan yang tidak munasabah, atau persepsi bahawa perjuangan sudah berakhir, hingga menyebabkan penderitaan dan kematian yang tidak munasabah.

“Menyifatkan situasi ini sebagai pandemik bagaimanapun tidak mengubah penilaian WHO mengenai ancaman yang dibawa oleh koronavirus ini. Ia tidak mengubah sebarang langkah yang diambil oleh WHO, dan tidak mengubah tindakan yang perlu diambil oleh negara-negara terlibat.

“Kita tidak pernah sebelum ini melihat pandemik dicetuskan oleh koronavirus. Pada masa yang sama, kita juga tidak pernah melihat satu pandemik yang boleh dikawal,” jelasnya.

Menurut Tedros, WHO sudah dalam mod bertindak, sejak kes pertama.

“Setiap hari, kami menyeru setiap negara untuk mengambil langkah segera dan agresif,” ujarnya.

https://www.youtube.com/watch?v=XnhxjYCVHp8&feature=emb_title

 

Sumber: WHO

 

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.