Siakap Keli

(Video) Lagu ‘Getaran Jiwa’ Diberi Sentuhan Baharu Penyanyi Tersohor Venezuela

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) — Lagu ‘Getaran Jiwa’ – karya pelakon, penyanyi dan penulis legenda Malaysia, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee – bukan sahaja diminati rakyat Malaysia malah turut mencuri tumpuan artis terkenal Venezuela yang memberi sentuhan baharu menerusi petikan ‘cuatro’ (gitar kecil yang digunakan dalam muzik Amerika Latin dan Caribbean).

Baru-baru ini, artis soprano Maria Elena Vargas mendendangkan lagu itu pada konsert sulungnya di Malaysia, ‘Opera Venezuela Gala dengan Soprano Maria Elena Vargas’, berlangsung pada 5 Mac di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac).

“Saya diberitahu ‘Getaran Jiwa’ sebuah lagu yang boleh dijiwai setiap pendengar di Malaysia dan menusuk kalbu.

“Lagu yang saya dendangkan itu bukan sahaja sebagai penghormatan buat P. Ramlee tetapi juga untuk kepelbagaian budaya di Malaysia,” katanya kepada Bernama melalui penterjemah.

Persembahan beliau menerima tepukan gemuruh penonton yang menghadiri konsert selama sejam itu.

‘Getaran Jiwa’ antara karya hebat daripada 149 lagu ciptaan dan dendangan seniman P. Ramlee, diisytiharkan sebagai Warisan Negara pada 2018. Lagu-lagu lain termasuk ‘Bunyi Gitar’, ‘Maafkan Kami’, ‘Anakku Sazali’ dan ‘Tunggu Sekejap ‘.

Mengulas mengenai programnya di Malaysia, Vargas berkata beliau juga berkongsi pengetahuan dan pengalamannya kepada kira-kira 100 pelajar di sebuah universiti di Malaysia.

“Saya juga bercadang untuk bekerjasama dengan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam masa terdekat,” kata penyanyi berusia 63 tahun itu yang menjadikan artis Luciano Pavarotti dari Itali sebagai idolanya.

Penyanyi Soprano itu memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang seni muzik dari P. I. Tchaikovsky Conservatory di Moscow, Rusia.

Sepanjang karier seninya, beliau telah mengadakan konsert di Austria, Sepanyol, Perancis dan Rusia.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story