Siakap Keli
Kredit: Google/Bernama

(Video) Solat Jumaat Diteruskan, Tetapi Menteri Saran Khutbah Dipendekkan, Terus Ke Bahagian Nak Disampaikan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyarankan pengurusan masjid agar memendekkan khutbah Jumaat susulan penularan COVID-19 ketika ini.

Dalam sidang media khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau menegaskan solat Jumaat tetap wajib, namun langkah berjaga-jaga perlu ditekankan.

“Jadi mengambil hukum asal wajib, kita katakan solat Jumaat tetap wajib cuma beberapa saranan kita bagi dalam situasi sekarang,” katanya.

Beliau menyarankan tiga inisiatif menghadapi penularan COVID-19 iaitu dengan memendekkan khutbah serta terus ke bahagian yang ingin disampaikan.

“Cuma beberapa saranan yang kita bagi dalam situsi seperti ini sekarang. Pertama, kalau boleh, khutbah dipendekkan. Kita terus ke bahagian yang ingin disampaikan,” katanya.

Dr Zulkifli turut menasihati jemaah agar mengambil wuduk di rumah serta mengingatkan pihak masjid agar menyediakan pembasmi kuman.

Tambahnya, agensi agama di JPM akan mengemukakan lima kertas kerja untuk dibawa ke majlis fatwa bagi membincangkan permasalahan yang timbul ketika krisis wabak COVID-19 kini.

Permasalahan yang bakal dibincangkan ialah masalah solat jumaat, masalah bersalaman, masalah kenduri kahwin, masalah pengurusan mayat dan panduan jika terkena COVID-19 serta saranan yang dikemukakan jabatan atas nasihat Kementerian Kesihatan bagi mengekang wabak itu.

Hasil perbincangan tersebut bakal diuar-uarkan dalam tempoh terdekat, katanya.

Tiada keperluan solat Jumaat di rumah

Menjawab pertanyaan media mengenai solat Jumaat serta perhimpunan ketika COVID-19, beliau berkata tiada keperluan untuk solat Jumaat di rumah.

“Apa-apa perhimpunan, kalau boleh dielakkan, kecuali sekiranya amat-amat memerlukan, bahkan soal wajib ini kita tak boleh katakan ia sunat pula.

“Sebab itu beberapa pandangan ulama menganggap bahawa kita boleh kata ‘tidak wajib’, dengan syarat ia memang merebak luar kawalan.

“Kedua, ia akan terpakai kepada semua, bukan sekadar solat sahaja tak boleh tapi yang lain boleh; beli barang boleh, berhimpun tujuan lain boleh pula,” katanya.

Sumber: Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Amira

Love yourself.