Siakap Keli

COVID-19: KPM Arah Semua Aktiviti Sukan & Kokurikulum Ditangguhkan

PUTRAJAYA – Semua program di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melibatkan perhimpunan ramai seperti aktiviti sukan dan kokurikulum bagi bulan Mac 2020 diarah ditangguhkan.

KPM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, penangguhan itu dibuat berdasarkan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam yang menggesa agar semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Coronavirus (COVID-19) berlaku.

“Semua warga KPM diingatkan agar mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) pengawalan penularan jangkitan COVID-19 yang dikeluarkan oleh KKM.

“Warga KPM juga dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan ke luar negara terutamanya ke wilayah atau bandar yang sedang mengalami wabak jangkitan COVID-19 sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh KKM,” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Difahamkan, penangguhan bagi semua acara himpunan tersebut akan dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

“Penjagaan kesihatan diri yang baik juga perlu diamalkan oleh semua pihak pada setiap masa dan sekiranya mengalami gejala jangkitan, diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CRPC) Kebangsaan.

“KPM mengambil cakna berhubung penularan COVID-19 dan akan bekerjasama rapat dengan KKM dalam mendepani gejala ini,” jelas kenyataan itu lagi.

Perkembangan terkini jangkitan COVID-19 boleh diperolehi melalui laman web rasmi KKM.

Kenyataan media KPM hari ini. Gambar: Facebook KPM

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.