Siakap Keli
Gambar: Zero Hedge

Iran Mohon Pinjaman Untuk Perangi Wabak COVID-19

TEHRAN, 13 Mac (Bernama) — Hanya tiga minggu selepas Iran mengisytiharkan kes pertama COVID-19, kes jangkitan dan kematian di negara ini terus meningkat mendadak menyaksikan 429 orang terkorban manakala 10,075 dijangkiti, umum Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Perubatan pada Khamis.

Bank Negara Iran (CBI) kemudian mengumumkan akan memohon pinjaman sebanyak US$5 bilion kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk memerangi wabak COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Terdahulu, Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva mengumumkan komuniti antarabangsa meminta IMF menggunakan dananya untuk membantu negara yang terjejas dan menyediakan US$50 bilion melalui kemudahan pembiayaan kecemasan.

Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif pula menggesa komuniti antarabangsa meningkatkan sumbangan dan menyediakan semua yang diperlukan Kementerian Kesihatan untuk memerangi wabak COVID-19.

“Petugas kesihatan di barisan hadapan terus berjuang tanpa rasa gentar untuk memerangi COVID-19,” kata Zarif di Twitternya.

Bagaimanapun, “usaha mereka berdepan kekangan apabila orang ramaiĀ  kurang mendapat akses kepada ubat-ubatan atau peralatan,” katanya.

Pada masa sama, Zarif menyeru sekatan Amerika Syarikat ke atas Iran dihapuskan ketika negara itu bergelut memerangi COVID-19, menurut agensi berita rasmi IRNA.

Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei pada Khamis mengarahkan tentera Iran menubuhkan “Ibu Pejabat Kesihatan dan Perubatan”.

“Ibu Pejabat Kesihatan dan Perubatan akan berganding bahu dengan pemerintah serta Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Perubatan untuk memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.”

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story