Siakap Keli
Gambar: Bernama

Peningkatan Hibah Kembalikan Keyakinan Pendeposit Kepada TH- Zulkifli

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Agihan keuntungan selepas zakat (hibah) Lembaga Tabung Haji (TH) sebanyak 3.05 peratus dilihat telah mengembalikan kepercayaan pendeposit kepada agensi itu setelah jumlah dividen yang diterima mereka agak rendah pada tahun kewangan 2018, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mengucapkan tahniah kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan TH atas kejayaan tersebut, Zulkifli berkata khabar gembira yang diumumkan semalam itu juga dijangka memberi galakan kepada pendeposit untuk terus melabur serta menyimpan wang bersama TH.

“Keuntungan yang dicatatkan ini menunjukkan keberhasilan usaha pihak pengurusan dalam merangka strategi pelaburan dan langkah pengurusan kos.

“Cabaran terbesar TH adalah bagaimana untuk mengukuhkan kedudukan kewangan mereka setelah berlakunya ketidaktentuan pasaran saham berikutan perang dagangan di peringkat global,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

TH dalam satu kenyataan semalam mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019 melibatkan bayaran berjumlah RM2.1 bilion, iaitu RM1.2 billion lebih tinggi berbanding RM913 juta pada tahun kewangan 2018.

Prestasi kewangan yang semakin baik itu adalah berasaskan strategi pelaburan mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat yang menyumbang kepada pertumbuhan agihan kewangan pada 2019.

Zulkifli percaya TH dan semua pihak berkaitan telah menggembleng sepenuh tenaga mereka dan yakin bahawa agensi itu akan mencatat lebih banyak keuntungan pada masa hadapan.

Beliau turut menyeru semua pihak agar meletakkan sepenuh keyakinan kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan TH yang sentiasa berdedikasi serta memahami hala tuju institusi haji itu dalam menjalankan urus tadbir.

“Penubuhan TH adalah berlandaskan niat suci untuk membantu umat Islam di Malaysia menunaikan rukun Islam kelima.

“Semoga TH akan dapat mencatat lebih banyak keuntungan pada masa akan datang serta dapat menyumbang lebih banyak untuk ekonomi dan pembangunan Islam,” katanya.

— BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa