Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Tiada Penuntut Malaysia Di AS Dijangkiti COVID-19

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Tiada pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan dijangkiti novel koronavirus (COVID-19), kata Kedutaan Malaysia di Washington.

Kedutaan dalam satu kenyataan melalui e-mel kepada Bernama berkata, dua penuntut Malaysia di AS mengkuarantin diri mereka sebagai langkah pencegahan, selepas rakan di fakulti mereka disahkan dijangkiti COVID-19.

Kenyataan itu menyebut Pendidikan Malaysia (EM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Washington telah menghubungi penuntut Malaysia dan memberi nasihat serta panduan bergantung kepada tempat mereka tinggal.

“Mereka juga dinasihatkan mematuhi langkah pencegahan dan cadangan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, EM bekerja rapat dengan Perhimpunan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Amerika (NAMSA) untuk memantau penuntut dengan memberi bantuan serta nasihat yang perlu,” jelas kenyataan itu.

Menurut EM, beberapa penuntut telah menghubungi pihak EM berhubung isu penginapan dan memaklumkan buat masa ini mereka lebih memilih untuk tinggal bersama rakan (di luar kampus).

Terdapat sejumlah 7,709 pelajar Malaysia menuntut di AS termasuk 260 orang yang ditaja PSD dan 57 pelajar tajaan MARA.

Mengulas lanjut, kedutaan itu berkata pelajar dinasihatkan menangguhkan atau membatalkan aktiviti serta perjalanan tidak penting.

Penuntut tajaan PSD perlu mendapat kelulusan rasmi ibu pejabat JPA sebelum melancong ke luar negara.

“Mereka juga perlu memaklumkan JPA sebarang perjalanan yang dibuat di dalam negara bagi membolehkan JPA memantau rapat pergerakan dan kesejahteraan penuntut.

“Di samping itu, pelajar perlu memaklumkan kepada pihak penaja jika tidak sihat dan mendapatkan bantuan perubatan dengan segera,” katanya.

Kenyataan itu berkata banyak institusi pendidikan di AS menjalankan pembelajaran secara dalam talian untuk meminimumkan interaksi fizikal dan pelajar dinasihatkan mengambil langkah pencegahan serta mengikuti arahan pihak universiti masing-masing.

Sebelum ini, Presiden Donald Trump mengisytiharkan darurat di AS, selepas negara itu mencatatkan lebih 1,600 kes termasuk 47 kematian.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story