Siakap Keli

(Video)Keadaan Semakin ‘Parah’, Amerika Syarikat Isytihar Darurat Covid-19

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Jumaat telah mengistiharkan darurat susulan daripada penularan wabak virus Covid-19.

Pengumuman itu adalah sebahagian daripada langkah-langkah terbaru Trump bagi mengawal penularan wabak tersebut dengan harapan dapat memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi tempatan.

Keputusan itu juga dibuat bagi membolehkan lebih banyak bantuan daripada kerajaan dapat disalurkan dalam memerangi virus yang telah menjangkiti 138,000 orang di seluruh dunia dan membunuh lebih 5,000 nyawa.

Impak daripada virus ini dalam kehidupan seharian manusia di seluruh dunia semakin memburuk. Banyak sekolah dan perniagaan terpaksa ditutup. Orang ramai juga dinasihatkan supaya berkurung di rumah dan tidak ke tempat-tempat tumpuan ramai untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti.

“Saya dengan ini mengisytiharkan darurat di seluruh negara,” kata Trump pada sidang media berhubung penularan jangkitan COVID-19 di Washington.

Menurutnya, langkah itu dibuat bagi membolehkan dana kecemasan AS$50 bilion (kira-kira RM215 bilion) diagih kepada kerajaan negeri dan tempatan bagi untuk digunakan bagi membendung wabak itu.

Pengisytiharan itu dibuat dua hari selepas Trump mengumumkan sekatan perjalanan bagi menghalang kemasukan ke Amerika Syarikat khususnya pada orang yang datang daripada Eropah.

Walaupun Britain adalah antara negara yang dikecualikan daripada sekatan itu, namun Trump tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan itu bakal diubah di masa hadapan kerana angka kes yang terjadi di negara itu kini semakin meningkat.

Presiden yang telah dilihat pernah berkontak rapat pada Sabtu lalu dengan pegawai Brazil yang disahkan positif itu menyatakan bahawa beliau akan melakukan pemeriksaan “tidak lama lagi”. Walaupun begitu, beliau tidak bercadang untuk mengkuarantinkan dirinya kerana menurutnya, dia tidak mempunyai apa-apa simptom lagi.

Sumber: CNN

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa