Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

CUEPACS Mohon COVID-19 Disenaraikan Penyakit Diberi Cuti Kuarantin

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan kerajaan agar mempertimbang untuk memasukkan COVID-19 ke dalam senarai jenis penyakit berjangkit yang diberikan kemudahan cuti kuarantin.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata kemudahan cuti kuarantin kepada ibu bapa dan penjawat awam perlu diberikan berikutan pengisytiharan COVID-19 sebagai pandemik dan wabak itu perlu dimasukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016.

Pekeliling itu memperuntukkan kemudahan cuti kuarantin, enam penyakit berjangkit iaitu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD); demam denggi dan demam denggi berdarah; campak; cacar air; difteria dan malaria.

“CUEPACS juga merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga kerja yang terlibat dalam menangani COVID-19. Diharap mereka bersabar dan terus tekun dalam menjalankan tugas.

“CUEPACS akui akan kesusahan yang sedang mereka lalui dan tiada sebarang rungutan diterima walaupun bertugas dalam keadaan masa tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertubuhan itu turut memohon agar pihak bank mengambil inisiatif untuk menangguhkan dan membuat penstrukturan semula bayaran balik pinjaman penjawat awam serta kakitangan syarikat yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak itu.

“CUEPACS juga telah menerima banyak keluhan warga pekerja dan rakyat yang hilang pendapatan sementara memandangkan banyak industri dan syarikat yang terjejas dan ada antara mereka serta kakitangan telah diberi notis cuti sementara tanpa gaji akibat COVID-19,” katanya.

Adnan berkata, pihaknya turut menyambut baik inisiatif Kementerian Kesihatan untuk menempatkan 1,000 doktor pelatih di hospital kerajaan seluruh negara bagi membantu melicinkan operasi harian susulan penularan COVID-19.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story