Siakap Keli
Kredit: Google/Nor Zabetha

Awas, Pesakit Sebar Virus COVID-19 Boleh Didenda, Dipenjara -Peguam

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Peningkatan mendadak kes COVID-19 secara tiba-tiba kebelakangan ini menyebabkan kerisauan di seluruh negara.

Justeru, orang ramai diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran serta menjauhi tempat awam tanpa sebarang urusan mustahak.

Sementara itu, individu yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti virus atau mempunyai simptom jangkitan diseru untuk menjalani ujian di klinik kesihatan berhampiran bagi mengelakkan penyebaran wabak kepada orang lain.

Menurut peguam, Nor Zabetha, individu yang tidak mematuhi saranan hingga merisikokan orang lain dengan jangkitan boleh dipenjara dan dikenakan hukuman. Berikut adalah penjelasannya.

Untuk pengetahuan semua bagi mereka yang tahu mereka dijangkiti atau percaya mereka berkemungkinan mempunyai penyakit berjangkit dan mendedahkannya kepada orang lain boleh dihukum penjara atau denda dibawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (APPPB).

Seksyen 12 memperuntukan bahawa jika anda tahu anda berpenyakit atau percaya anda mempunyai sesuatu penyakit berjangkit kemudian mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan dengan cara pergi ke tempat awam dan menggunakan kemudahan lain, maka ini adalah kesalahan di bawah Akta ini.

Ingat kata kunci atau elemen khusus dalam Seksyen 12 ini adalah “anda tahu”, kalau pun anda tidak tahu “anda mempunyai sebab untuk percaya anda berpenyakit” COVID-19.

Misalnya anda demam dan enggan mendapat rawatan kerana takut hendak berdepan dengan realiti sekiranya hasil pemeriksaan anda sah dijangkiti COVID-19. Nah! Di situ anda mempunyai sebab untuk percaya anda dijangkiti COVID-19 dan anda ke tempat awam seperti biasa. Ini adalah kesalahan.

Pada pendapat saya, anda tidak perlu demam untuk anda percaya anda dijangkiti. Dalam situasi COVID-19 yang menular secara pantas, dalam tempoh beberapa bulan sahaja sudah mencecah puluhan ribu seluruh dunia, saya yakin dan percaya kita semua mempunyai sebab untuk percaya kita boleh menghidap penyakit COVID-19 ini dan sekiranya kita masih pergi ke tempat awam, menggunakan alatan awam maka kita adalah bersalah di bawah Akta ini.

Sekiranya anda didakwa di Mahkamah, anda boleh didenda bagi kesalahan pertama maksimum 2 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali. Kesalahan kedua atau berikutnya maksimum 5 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain dari kesalahan dari segi Akta ini juga, ahli keluarga atau orang yang terkesan boleh menuntut dari anda secara tuntutan ganti rugi. Bukan sahaja anda berdepan dengan hukuman penjara atau denda malahan anda perlu membayar ganti rugi yang puluhan atau ratusan ribu ringgit.

Ada satu kes tuntutan ganti rugi dibawah Akta ini iaitu Kerajaan Malaysia & ORS v. Lay Kee Tee & ORS [2009] 1 CLJ 663.

Dalam kes ini 184 orang (responden-responden) yang mendakwa mengalami penderitaan akibat dari virus Nipah/Japanese Encaphalities (JE) atau waris-waris mereka yang telah meninggal dunia akibat virus tersebut atau pemilik-pemilik ladang khinzir yang terjejas oleh virus yang sama telah menuntut dari Kerajaan beberapa ganti rugi iaitu dan keseluruhannya lebih kurang RM1.6 juta.

Dalam kes ini. Responden-responden telah meminta kerajaan (perayu-perayu) supaya membunuh khinzir-khinzir bagi mengawal penyebaran virus, kemudiannya memfail tuntutan terhadap kerajaan antara lain atas alasan kerajaan cuai dan gagal bertindak dengan cepat untuk mengawal virus dari tersebar.

Menurut responden-responden, perayu-perayu telah membiarkan keadaan menjadi gawat sekaligus menyebabkan mereka menanggung kerugian.

Sumber: Nor Zabetha

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.