Siakap Keli
Gambar: Bernama

Covid-19: 87 Penghuni Madrasatul Quran Kubang Bujuk Dikuarantin

Kuala Terengganu: Seramai 87 penghuni Madrasatul Quran Kubang Bujuk dekat Serada di sini telah dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan(PUI) bagi jangkitan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata kesemua mereka dikuarantin di Hospital Hulu Terengganu sejak Sabtu lepas.

“Langkah ini diambil kerana seorang peserta program tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling yang disyaki positif COVID-19 telah singgah di madrasah itu.

“Susulan itu, madrasah itu telah ditutup kepada orang ramai dan penghuninya dikuarantin tanpa sebarang pergerakan keluar masuk untuk mengelak risiko penyebaran COVID-19. 

“Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu juga telah membuat saringan kesihatan ke atas semua penghuni madrasah itu dengan 87 orang dikenalpasti sebagai PUI dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk menjalani proses kuarantin,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Difahamkan, madrasah itu mempunyai 346 pelajar tahfiz, 27 tenaga pengajar dan 10 petugas sokongan.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihat agar tidak panik kerana 87 penghuni madrasah itu hanya PUI sahaja dan proses kuarantin itu mengikut prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ditanya mengenai keputusan sama ada 87 PUI itu positif dijangkiti COVID-19, Dr Alias berkata perkara itu hanya akan dimaklumkan oleh KKM selaku pihak yang berautoriti untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.

Dalam pada itu, Dr Alias berkata Terengganu mempunyai empat pusat kuarantin untuk jangkitan COVID-19 iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang menyediakan 58 katil, Hospital Hulu Terengganu (156), Scout Inn Resort di Kuala Nerus (77) dan Pusat Latihan Felda (44).

“Kesemua pusat kuarantin ini sebagai persediaan sekiranya terdapat tambahan PUI jangkitan COVID-19 dan kesemuanya masih kosong kecuali di Hospital Hulu Terengganu yang menempatkan 87 PUI dari madrasah itu.

“Kita juga telah mengenalpasti beberapa lokasi yang sesuai untuk dijadikan pusat kuarantin sekiranya jumlah itu bertambah,” katanya.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.