Siakap Keli
Gambar: www.uum.edu.my

Covid-19: UUM Laksana Kuliah Secara Dalam Talian Mulai 5 April

Alor Setar: Selepas Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) pula mengumumkan bahawa ia juga akan menjalankan semua kuliah secara dalam talian apabila semester baharu bermula 5 April ini dalam usaha membendung penularan virus COVID-19.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof Dr Yusnidah Ibrahim berkata pelaksanaan itu membenarkan semua pelajar untiversiti itu untuk mengikuti kuliah secara dalam talian dari luar kampus termasuk dari tempat tinggal pelajar masing-masing.

“Penularan wabak COVID-19 di Malaysia menunjukkan peningkatan dan pihak UUM amat prihatin dengan kebajikan pelajar, pensyarah dan seluruh warga universiti terutamanya dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam dan luar kampus.

“Bermula semalam hingga 26 Mac ini, semua kuliah akan berjalan seperti biasa namun pihak universiti tidak menghalang sekiranya ada pensyarah yang ingin mengendalikan kuliah secara dalam talian bermula minggu ini kerana pelaksanaan itu hanya bermula pada 5 April,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Yusnidah berkata, sebarang komunikasi antara pelajar dengan pensyarah, pusat pengajian dan lain-lain jabatan di UUM juga akan dilakukan secara dalam talian atau laman sosial.

“Semua bentuk penilaian sama ada peperiksaan pertengahan semester, tugasan, kuiz, pembentangan projek dan peperiksaan akhir yang akan bermula dari 31 Mei hingga 27 Jun hadapan juga akan dilakukan secara dalam talian dan kaedah lain akan dimaklumkan oleh pihak universiti kelak.

“Cuti pertengahan semester bagi pelajar program sarjana muda dari 27 Mac hingga 4 April ini juga akan diteruskan seperti biasa. Pelajar dari Sabah, Sarawak, antarabangsa dan pelajar yang mempunyai keperluan tertentu boleh memilih untuk berada di dalam atau luar kampus semasa dan selepas cuti semester,” katanya.

Bagaimanapun, kumpulan pelajar itu perlu mendaftarkan diri mereka kepada pihak Inapan Siswa (INASIS) bagi tindakan pemantauan seterusnya.

Semalam, Naib Canselor USM Prof Dr Faizal Rariq Mahamd Adikan berkata universiti itu mula menjalankan semua kuliah dalam talian bermula semalam untuk membendung penularan virus COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.