Siakap Keli

Sehingga Ahad Kes Covid-19 Di Iran Mencecah 14,000, 724 Orang Maut

Kaherah: Kes jangkitan COVID-19 di Iran pada  Ahad meningkat kepada 13,938 orang, dengan 724 pesakit meninggal dunia, ketika virus maut terus mengancam negara di Timur Tengah itu, lapor agensi berita Xinhua.

Jumlah kes meningkat 1,209 berbanding hari sebelumnya, manakala angka korban bertambah kepada 113 orang. Sementara itu, 451 pesakit pulih menjadikan jumlah keseluruhan seramai 4,790.

Sehubungan itu, menjelang cuti tahun baru bermula 20 Mac, pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai untuk menangguhkan dahulu perjalanan.

Presiden Hassan Rouhani menolak kemungkinan mengambil langkah “lockdown” di Tehran atau bandar-bandar lain.

Pihak tentera masih menjalankan saringan kesihatan di wilayah Qom dan Gilan, dan langkah itu kemudian akan dilaksanakan di seluruh negara, kata panglima tentera darat Kiomars Heidari.

Di Baghdad, kes meningkat kepada 124 orang dengan 14 lagi kes baharu dilaporkan pada Ahad. Berikutan itu, kerajaan Iraq mengenakan perintah berkurung selama seminggu di Baghdad.

Kes COVID-19 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga meningkat kepada 98, selepas 12 lagi pesakit disahkan dijangkiti virus itu.

Di Rabat, Maghribi 11 lagi kes disahkan menjadikan jumlah keseluruhan 28. Maghribi memutuskan menggantung semua penerbangan antarabangsa, sehari selepas menutup pintu sempadannya dengan Ceuta dan Melilla.

Negara itu turut melarang kemasukan penumpang yang menggunakan pengangkutan laut dari Sepanyol, Itali dan Perancis.

Kerajaan juga menyediakan dana bernilai US$1.07 bilion untuk menangani masalah ekonomi.

Kuwait pula melaporkan lapan kes baharu menyaksikan kes meningkat kepada 112 dengan dua pesakit pulih.

Israel melaporkan tujuh kes menjadikan jumlah sebanyak 200 dengan dua pesakit dilaporkan kritikal.

Semua pusat beli-belah, restoran, kafe, teater dan pawagam ditutup selain melarang penggunaan tunai untuk perkhidmatan pengangkutan awam. Kerajaan turut membatalkan laluan bas ke tempat hiburan dan pusat beli-belah.

Di Amman, Jordan 10 kes jangkitan COVID-19 disahkan termasuk seorang warga Iraq, dua rakyat Jordan dan empat pelancong Perancis, menjadikan jumlah kes 11.

Di Beirut, Kementerian Kesihatan Lubnan mengumumkan enam kes baharu menjadikan kes mencecah kepada 99 orang.

Di Tunis, setakat Ahad sejumlah 20 kes dilaporkan manakala di Oman seramai 22 orang.

Di Ankara, seorang warga Turki yang baru pulang dari Arab Saudi disahkan dijangkiti COVID-19, menjadikan ia kes keenam, kata Menteri Kesihatan Fahrettin Koca.

Di Algiers pada Ahad seorang lagi pesakit maut membabitkan seorang wanita berusia 84 tahun di wilayah Blida, menjadikan empat kes kematian setakat ini.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.