Siakap Keli

COVID-19: Bukit Aman Minta Orang Ramai Tangguh Aktiviti, Termasuk Majlis Keagamaan

KUALA LUMPUR, 16 Mac — Orang ramai sekali lagi diminta menangguhkan sebarang aktiviti atau program, termasuk yang berunsur keagamaan, meskipun tidak memerlukan permit, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, permit tidak diperlukan untuk sesuatu majlis mahupun perhimpunan keagamaan tetapi penganjur harus memaklumkan kepada polis bagi memohon kawalan lalu lintas dan cegah jenayah.

“Saya meminta orang ramai agar mematuhi saranan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang dikeluarkan sebelum ini. Sekiranya boleh, tangguhkanlah dahulu,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

Hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan sejumlah 125 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif setakat ini ialah 553.

Sejumlah 95 daripada kes baharu itu mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Secara keseluruhan, sejumlah 42 kes telah sembuh.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan malah hingga ke seluruh dunia.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.