BERANI. Itu frasa paling tepat ditujukan kepada lelaki ini atas keputusan membatalkan majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung kurang seminggu sahaja lagi.
Menurut Muhammad Azmy Hassan (gambar kecil), 24, keputusan drastik itu dibuat pagi ini sejurus mendengar Perutusan Khas Perdana Menteri malam tadi.
“Tiada pilihan lain. Mungkin tak buat terus. Tapi tak tahulah, sebab kos tinggi nak balik Sabah.
“Kami sudah berbincang dengan keluarga di Sabah, dan keluarga mertua di sini (semenanjung) pun tak jadi balik ke sana.
“Semua dah buat persiapan, tinggal nak jalan saja,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli, di sini hari ini.

Difahamkan, kos kerugian yang terpaksa ditanggung adalah kira-kira RM6,000 melibatkan dewan, katering, baju sanding, fotografi, pelamin, tiket penerbangan, kad kahwin dan banner.
“Sekarang tengah berusaha untuk refund semula duit daripada pihak yang telah ditempah.
“Buat masa ini, tiada lagi yang nak refund. Mungkin sebab mereka berniaga, perlukan duit juga. Ekonomi masing-masing sedang kalut,” jelas anak kelahiran Semporna, Sabah itu.
Bagaimanapun, dakwa Azmy yang juga petugas kemanusiaan di sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Selangor, walaupun majlisnya terpaksa dibatalkan, namun dia tetap perlu balik ke Sabah kerana kakaknya akan bernikah pada tarikh yang sama.
“Majlis pernikahan itu dijalankan di rumah keluarga kami. Saya wali, jadi saya kena ada.
“Alhamdulillah, keputusan ini mendapat respon positif daripada saudara-mara dan tetamu jemputan.
“Mesti ada hikmahNya. Yakin.” ujarnya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang akan dilaksanakan berkuatkuasa dari 18 Mac hingga 31 Mac.
Enam perintah kawalan tersebut adalah seperti berikut; larangan perhimpunan ramai, sekatan ke luar negara, sekatan kemasukan pelancong asing, penutupan institusi sekolah, penutupan institusi pengajian tinggi dan penutupan premis kerajaa & swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services).

SEBAIK-BAIK PERANCANG ADALAH ALLAH SWT.Assalamualaikum semua, untuk makluman majlis persandingan belah lelaki di…
Posted by Muhammad Azmy on Monday, 16 March 2020
Sumber: Facebook