Siakap Keli

19 Soal jawab Tentang Sektor Peruncitan Ketika Tempoh Kawalan Pergerakan Yang Perlu Anda Tahu

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Perintah Kawalan Pergerakan telah berkuat kuasa mulai hari ini hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Berikut merupakan antara soalan lazim berkaitan sektor peruncitan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna:

1. Adakah operasi pusat pengedaran dibenarkan beroperasi seperti biasa?

Operasi pusat pengedaran yang melibatkan bekalan barangan keperluan hairan dan makanan merangkumi gudang e-dagang dan perkhidmatan gudang sokongan dibenarkan untuk terus beroperasi.

2. Adakah restoran, seksyen Sedia Dimakan (RTE)/bakeri dibenarkan operasi?

Restoran, RTE/bakeri boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja dan pandu lalu atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda. Makan di kedai tidak dibenarkan.

3. Bagaimana dengan operasi medan selera dan penyewa yang beroperasi dalam pasar raya besar ?

Operasi medan selera boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda. Makan di kedai (dine-in) tidak dibenarkan. Hanya penyewa yang beroperasi dalam industri farmasi klinikal sahaja dibenarkan untuk terus beroperasi di dalam pasar raya besar.

4. Bagaimana operasi peruncitan di dalam pusat beli-belah seperti penyewa utama ?

Operasi peruncitan (makanan dan barangan keperluan harian sahaja) di pusat beli-belah boleh diteruskan atas rundingan antara penyewa dan pemilik premis.

5. Bagaimana operasi kedai makan/kedai runcit/kedai serbaneka dalam kedai khusus ?

Kedai makan/kedai runcit/kedai serbaneka dalam kedai khusus sahaja dibenarkan beroperasi seperti biasa tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat seperti Grab Food atau Food Panda. Makan di kedai tidak dibenarkan.

6. Adakah operasi ibu pejabat syarikat peruncitan dibenarkan beroperasi?

Ibu pejabat syarikat peruncitan adalah dibenarkan untuk terus beroperasi seperti biasa. Namun, pihak pengurusan syarikat perlu mengenal pasti sektor, bahagian atau unit yang perlu diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting untuk hadir bekerja di premis ibu pejabat manakala bagi sektor, bahagian atau unit yang bukan perkhidmatan penting adalah perlu mengambil langkah bekerja dari rumah.

7. Adakah kementerian akan mengeluarkan kenyataan bagi menghadkan pembelian setiap pengguna?

Kementerian menggalakkan pihak pasar raya melakukan kawalan kendiri bagi menangani pembelian barangan makanan dan keperluan harian dengan jumlah yang tidak munasabah oleh pengguna.

 8. Bagaimana operasi ‘departmental store’ yang mempunyai pasar raya dan barangan kelengkapan rumah/fesyen/medan selera? 

Hanya bahagian pasar raya yang menjual barang makanan dan barangan keperluan harian yang dibenarkan untuk beroperasi di ‘departmental store’.

9. Adakah perkhidmatan dobi layan diri boleh diteruskan?

Dobi layan diri tidak boleh beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bagi mengelakkan orang ramai berkumpul.

10. Adakah perkhidmatan kawalan keselamatan di pasar raya masih boleh diteruskan?

Perkhidmatan yang berkaitan dengan keselamatan boleh diteruskan.

11. Adakah perkhidmatan e-dagang dianggap sebagai perkhidmatan penting?

Ya.

12. Adakah pembelian dalam talian, penghantaran dan pemasangan di rumah pelanggan dibenarkan?

Ya.

13. Adakah pusat panggilan perkhidmatan pelanggan dibenarkan untuk beroperasi?

Ya.

14. Adakah kerja pengubahsuaian premis perniagaan boleh diteruskan?

Bagi kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang berjalan adalah perlu ditangguhkan. Sekiranya terdapat isu-isu keselamatan, pihak syarikat perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembanguan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk kerja pengubahsuaian diteruskan.

15. Adakah penghantar barangan bukan makanan seperti lampin tuala wanita dikira sebagai barangan penting?

Ya.

16. Jika semua pusat beli-belah ditutup. Adakah kedai di lapangan terbang turut terlibat?

Hanya penyewa yang beroperasi dalam industri farmasi klinikal, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian sahaja dibenarkan untuk terus beroperasi dalam lapangan terbang. Makan di kedai tidak dibenarkan.

17. Adakah penyedia perkhidmatan pihak ketiga dibenarkan beroperasi bagi membantu operasi dan rantaian bekalan kerana ini adalah kritikal dalam kelangsungan perniagaan?

Perkhidmatan yang akan memberi impak secara langsung kepada keselamatan dan bekalan adalah dibenarkan. Pengguna dan juga pihak ketiga perlu mengambil kira faktor kesihatan dengan cara memakai topeng muka dan cecair pencuci tangan (hand sanitizer).

18. Adakah syarikat pengumpulan sampah di premis pasar raya/kedai serbaneka/kedai runcit dibenarkan beroperasi?

Ya.

 19. Adakah kuota beras, gula, minyak dan tepung boleh disimpan melebihi kuota lesen yang diberikan?

Syarikat hendaklah mematuhi sebarang kuota lesen yang telah dikeluarkan oleh mana-mana agensi kawal selia. Bagaimanapun, perkara ini boleh dipertimbangkan berdasarkan kes.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang