Siakap Keli

Tren Malaysia-Thailand Digantung Sepenuhnya, Perkhidmatan Lain Beroperasi Seperti Biasa – KTMB

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas penumpang dan tren bermula 8.30 pagi hari ini susulan penularan wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Datuk Kamarulzaman Zainal berkata hanya bukan warganegara Malaysia dibenarkan menaiki tren Shuttle Tebrau dari Stesen Johor Bahru Sentral (JBS) ke Stesen Woodlands, Singapura,

Sementara di Stesen Woodlands, hanya rakyat Malaysia yang dibenarkan menaiki tren berkenaan untuk ke JBS.

“Bagi tren ulang-alik di antara sempadan Malaysia dan Thailand melibatkan perkhidmatan State Railway of Thailand pula digantung sepenuhnya buat sementara.

“Bagaimanapun, perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Antarabandar, KTM Komuter dan Skypark Link masih beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata penumpang yang ingin membuat pindaan atau pembatalan tiket sepanjang tempoh perintah itu diminta merujuk kepada stesen-stesen berhampiran.

Menurutnya, pemulangan tambang akan dibuat mengikut garis panduan telah ditetapkan iaitu 14 hari selepas tarikh pembatalan tiket.

Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat lanjut berkaitan operasi tren KTMB menerusi laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan di 0322671200.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang