Siakap Keli

COVID-19: Thailand Mungkin Laksana Perintah Larangan Keluar Masuk Kawasan

BANGKOK, 19 Mac — Thailand tidak menolak kemungkinan mengenakan perintah tidak dibenarkan keluar atau masuk kawasan bagi membendung penularan COVID-19 susulan kes yang meningkat di negara ini.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata, Thailand masih berada pada fasa kedua penularan dan tidak menolak kemungkinan ia akan merebak hingga meningkatkan jumlah kes jangkitan COVID-19.

“Penularan jangkitan itu di Thailand masih pada tahap terkawal kerana ia belum mencapai tahap ketiga menerusi jangkitan antara manusia kepada manusia.

“Jika ia berlaku (tahap ketiga) perintah tidak dibenarkan keluar atau masuk kawasan adalah sesuai dilaksanakan,” katanya seperti yang dipetik oleh Bangkok Post.

Beliau, yang juga Menteri Pertahanan Thailand, berkata kerajaan sedang melakukan persediaan bagi menghadapi tahap ketiga penularan COVID-19.

“Persiapan perlu bermula sekarang,” katanya.

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 212 kes COVID-19 dengan satu kematian. Seramai 169 pesakit masih dirawat di hospital manakala 42 lagi dibenarkan pulang. Tiga pesakit berada dalam keadaan kritikal.

Sejak 15 Mac, Thailand melaporkan lebih 30 kes baharu setiap hari dan ramai yang mencadangkan agar dikuatkuasakan perintah larangan keluar atau masuk bagi membendung penularan wabak itu.

Pada Selasa, Prayuth mengumumkan agar semua pusat pengajian tinggi termasuk sekolah tempatan dan antarabangsa, universiti dan pusat tuisyen di Thailand ditutup sementara selama dua minggu bermula 18-31 Mac untuk mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

Selain itu, semua venue sukan termasuk stadium, arena tinju dan venue perlumbaan kuda, pusat hiburan, kelab malam, panggung wayang dan pusat urut di Bangkok diarahkan tutup sementara selama dua minggu.

Sementara itu, pengusaha pelancongan menggesa kerajaan untuk melaksanakan perintah larangan keluar atau masuk selama 14 hari bagi mencegah wabak COVID-19 daripada tersebar ke wilayah lain yang turut menjejaskan ekonomi.

Presiden Persekutuan Persatuan Pelancongan Wilayah Thailand (TFOPTA) Chamnan Srisawat berkata pelaksanaan perintah larangan keluar atau masuk adalah satu langkah kecemasan untuk membendung wabak itu.

“Tidak terlambat untuk meletakkan negara sepenuhnya dalam perintah itu, menutup semua laluan darat dan udara untuk tempoh dua minggu atau sebulan,” katanya seperti dilaporkan dalam Bangkok Post.

Mengulas cadangan berkenaan, pakar penyakit berjangkit Dr Teerawat Hemajutha berkata langkah yang diambil perlu dipatuhi oleh orang ramai untuk membendung jangkitan wabak itu yang boleh menyebabkan kematian.

“Orang ramai masih menjalani kehidupan seperti biasa, pergi kerja dan berulang-alik menggunakan pengangkutan awam… Semua aktiviti awam perlu dihentikan selama 21 hari,” kata Dr Teerawat yang bertugas di Pusat Maklumat Penyakit Berjangkit Universiti Chulalongkorn.

Sumber: BERNAMA

Denin

Tukang tulis untuk rakyat jelata.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.