Siakap Keli

Saintis Dakwa Covid-19 Boleh Bertahan Di Udara Sekurang-Kurangnya 3 Jam – Kajian

Washington:  Wabak COVID-19 mampu kekal bertahan dalam titisan di udara selama beberapa jam dan berada di permukaan selama beberapa hari, menurut satu kajian baharu yang dijalankan oleh Amerika Syarikat (AS).

Para saintis dari National Institute of Allergy and Infectious Diseases (NIAID), sebahagian daripada Institut Kesihatan Kebangsaan AS cuba untuk meniru virus tersebut daripada orang yang dijangkiti dengan meletakkan ke permukaan rumah atau hospital melalui batuk atau menyentuh objek.

Mereka menggunakan peranti untuk mengeluarkan aerosol yang menyerupai titisan mikroskopik yang dicipta di dalam batuk atau bersin.

Kemudiannya, mereka menyiasat berapa lama virus boleh berada di permukaan tersebut menurut kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine (NEJM) pada Selasa (17 Mac 2020).

Apabila seseorang batuk atau bersin, virus boleh bertahan sekurangnya tiga jam

Hasil ujian menunjukkan bahawa virus yang berada dalam titisan tersebut dilepaskan apabila seseorang batuk atau bersin, ia tetap bertahan atau masih boleh menjangkiti orang lain sekurang-kurangnya tiga jam.

Malah, jika virus tersebut berada pada permukaan plastik dan kelulit tahan karat, virus itu masih bertahan dan boleh dikesan selepas tiga hari.

Manakala pada permukaan kadbod, virus itu tidak dapat dikesan selepas tempoh 24 jam.

Pada permukaan tembaga pula, ia mengambil masa selama empat jam supaya virus tersebut menjadi tidak aktif.

Virus hilang setengah fungsi dalam tempoh waktu ini

Pasukan penyelidik juga mendapati bahawa setengah daripada zarah virus mengambil masa kira-kira 66 minit untuk kehilangan fungsi jika berada dalam titisan aerosol.

Ini bermakna selepas satu jam dan enam minit, tiga perempat daripada zarah virus pada dasarnya tidak aktif tetapi 25 peratus masih akan bertahan.

Jumlah virus yang boleh dijangka pada akhir jam ketiga akan turun kepada 12.5 peratus, menurut penyelidikan yang diketuai oleh Neeltje van Doremalen dari NIAID di Makmal Rocky Mountain.

Pada keluli tahan karat, masa yang diperlukan adalah lima jam 38 minit untuk separuh daripada zarah virus menjadi tidak aktif.

Pada plastik, penyelidik mendapati separuh hayat daripada zarah virus adalah kira-kira enam jam 49 minit.

Pada kadbod, separuh hayat virus adalah kira-kira tiga jam setengah, tetapi para penyelidik mengatakan terdapat banyak kebolehubahan dalam keputusan tersebut jadi mereka menasihatkan untuk berhati-hati dalam mentafsirkan nombor tersebut.

Masa hidup virus yang paling singkat adalah pada tembaga, di mana separuh virus menjadi tidak aktif dalam masa 46 minit.

Sumber: The Straits Times

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.