Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

“Seakan Sedang Rentas Medan Perang,” Jururawat Gambarkan Keadaan ‘Genting’ Di Itali

Itali merupakan negara yang mempunyai salah satu fasiliti kesihatan terbaik di dunia barat. Dengan memiliki kepakaran dalam perubatan serta doktor-doktor yang terlatih, mereka merasakan bahawa mereka telah bersedia untuk menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini di negara mereka sebelum wabak tersebut melanda negara mereka.

Namun begitu, selepas virus ini sampai ke negara mereka, keadaan berubah apabila mereka bertungkus-lumus menangani wabak ini.

“Saya tidak pernah melihat terlalu ramai orang yang mati sebegini dengan kepala mata saya sendiri,” kata seorang jururawat di sebuah hospital Bergamo yang terletak di utara Itali, pusat wabak yang tercetus di bahagian Eropah. “Situasi ini seolah-olah kita sedang merentasi di tengah-tengah medan peperangan.”

Lebih daripada 2,500 orang telah meninggal dunia pada sekitar empat minggu lepas di Itali. Dengan lebih 31,500 kes positif yang disahkan, para doktor dan jururawat di negara itu khususnya bandar yang terletak di Utara Itali, sedang memerah kudrat mereka untuk memerangi wabak tersebut. Mereka dilaporkan sedang kekurangan katil serta kakitangan khususnya, kerana ramai diantara kakitangan mereka dilaporkan telah dijangkiti dengan virus itu.

Jururawat yang tidak dibenarkan mendedahkan situasi itu dan meminta supaya identitinya dirahsiakan, terpaksa berhenti daripada bekerja. Seperti kebanyakan pegawai perubatan profesional barisan hadapan di Itali, jururawat itu telah dijangkiti dengan virus yang sedang diperangi rakan-rakannya itu.

“Selepas seorang, seorang lagi akan jatuh sakit,” ujar jururawat tersebut.

Dalam bulan sejak virus itu dikesan, utara Itali telah dilihat menjadi contoh amaran tentang apa yang boleh berlaku di negara yang mempunyai salah satu fasiliti perubatan terbaik dunia, walaupun negara itu telah melakukan langkah drastik untuk mengawal penularan virus tersebut.

Bandar di Milan dan Bergamo adalah antara yang paling terkesan. Bandar Bergamo sahaja mempunyai sebanyak 3,800 kes positif yang disahkan.

Dr. Lorenzo D’Antiga, pengarah bahagian pediatrik di Hospital Papa Giovanni XXIII di Bergamo, berkata bahawa dia dan rakan-rakannya yang lain sedang beroperasi di salah satu rantau yang mencatatkan angka kes tertinggi.

“Kami kini sedang betul-betul berada di dalam pusat taufan,” katanya.

Pada awal Mac, selepas angka kematian daripada virus dan jumlah kes positif melonjak naik, kerajaan Itali telah mula mengambil langkah pencegahan untuk mengawal penularan wabak ini.

Tanggal 8 Mac, Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte telah menguatkuasakan perintah berkurung di wilayah Lombardy. Dua hari berikutnya, beliau telah meluaskan arahan perintah berkurung itu yang merangkumi seluruh negara.

Sumber: NBC

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa