Siakap Keli

COVID-19: TNB Sumbang RM10 Juta, Bantu Tampung Keperluan Perubatan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), telah memulakan tindakan gabungan menggalakkan syarikat korporat di Malaysia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19 di negara ini.

TNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, ‘Corporate Malaysia Against COVID-19 Action Coalition’ menyeru syarikat-syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi lain untuk memberi sokongan kewangan kepada KKM bagi membantu menambah bekalan perubatan yang semakin berkurangan memandangkan negara berjuang untuk mengatasi wabak COVID-19.

Sebagai pihak yang mengetuai tindakan ini, TNB menjanjikan sumbangan sebanyak RM10 juta kepada KKM baru-baru ini.

“Peningkatan jumlah orang yang dijangkiti virus COVID-19 di Malaysia memberi tekanan kepada hospital kerajaan yang telah ditetapkan untuk menangani virus itu.

“Saluran kewangan daripada TNB ini akan membolehkan KKM mendapatkan keperluan perubatan dan kesihatan dalam kadar segera dalam usaha melawan wabak ini. Kami berharap agar badan-badan GLC serta korporat lain boleh menyertai tindakan gabungan ini untuk kita menghadapi pandemik ini dengan lebih baik,” kata Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha KKM.

Dalam pada itu, presiden dan Ketua Pegawai Operasi TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kolaborasi antara sektor awam dan swasta pada masa ini amat diperlukan.

“Ini adalah perjuangan kita semua. Sebagai ketua syarikat korporat yang berjaya atas sokongan jutaan pengguna di Malaysia, kita seharusnya perlu bersama untuk memberi (bakti) kembali.

“Saya mahu menyeru kepada rakan korporat saya untuk menyertai misi bantuan ini bergabung bersama kami dalam masa genting ini dan memberi sokongan kritikal kepada petugas barisan hadapan,” jelasnya lagi.

Sumber: TNB

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.