Siakap Keli
Gambar: Bernama

Garis Panduan Kelayakan Memohon Bantuan Tabung Covid-19 Di Facebook NADMA

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang berkerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian layak memohon bantuan daripada Tabung COVID-19.

Menurut kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), turut layak memohon bantuan daripada tabung itu ialah rakyat Malaysia yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital ekoran COVID-19.

 “Kadar bantuan adalah RM100 sehari sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak COVID-19 di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau menjalani rawatan di wad hospital yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk merawat COVID-19,” menurut kenyataan itu menerusi Facebook NADMA di sini hari ini.

Bagaimanapun, NADMA menjelaskan individu tidak layak memohon adalah mereka yang bukan warga Malaysia, tiada pekerjaan sebelum dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian, mempunyai pendapatan atau menerima gaji dalam tempoh pengawasan dan pemerhatian.

Tabung COVID-19 dilancarkan untuk membantu mereka yang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak COVID-19 di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau menjalani rawatan di wad hospital yang dibenarkan oleh KKM untuk merawat COVID-19.

Mereka yang layak perlu memuat turun dokumen di laman web www.nadma.gov.my dan permohonan lengkap dihantar melalui pos ke NADMA di alamat seperti berikut:

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jabatan Perdana Menteri

Aras 7, Blok D5, Kompleks D Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62502 Putrajaya

(u.p. : Sekretariat KWABBN)

Orang ramai boleh layari www.nadma.gov.my untuk maklumat lanjut.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.