Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Gelandangan Ditempatkan Di Pusat Khusus Sepanjang PKP – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Gelandangan di sekitar ibu kota akan ditempatkan di tempat-tempat khusus bagi mengelakkan mereka daripada merayau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata mereka akan ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang yang boleh menampung sehingga 150 orang dan Anjung Singgah sehingga 70 orang untuk jangka masa pendek ini.

“Saya telah meminta MAWIP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) menyediakan sebanyak 100 bantal dan tilam baharu di Anjung Singgah kepada warga gelandangan untuk duduk satu tempat, jangan merayau, dan kita akan hantar makanan tiga kali sehari sepanjang tempoh PKP.

“Kami telah menentukan sebanyak sembilan tapak untuk para NGO (badan bukan kerajaan) dan persatuan sebagai tempat penyerahan bantuan makanan dengan dibantu oleh anggota RELA, penguat kuasa DBKL serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kami tidak galakkan mereka (NGO) pergi sendiri kerana bimbang tidak mengamalkan jarak sosial,” katanya menerusi video siaran langsung di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Annuar berkata pihaknya telah memindahkan 806 orang jemaah tabligh yang berada di Masjid Jamek Sri Petaling untuk ditempatkan di pusat-pusat kuarantin sekitar ibu kota secara berperingkat sejak semalam.

“Ia diputuskan oleh NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana jemaah tabligh yang dijangkiti wabak COVID-19 semakin meningkat, termasuk yang sedang berada di masjid itu.

“Kami telah memindahkan mereka yang sihat ke dua pusat kuarantin iaitu di Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diberi kemudahan sepanjang tempoh kuarantin mereka,” katanya.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story