Siakap Keli
Gambar: Chow Kon Yeow

COVID-19: Pulau Pinang Umum Pakej Bantuan Rakyat RM75 Juta

GEORGE TOWN, 25 Mac (Bernama) — Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bernilai RM75 juta yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 410,000 penerima bagi mendepani krisis penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook peribadinya hari ini berkata pada 17 Mac, kerajaan negeri telah mengumumkan insentif bantuan COVID-19 berjumlah RM20 juta namun setelah meneliti isu yang timbul sepanjang tempoh lapan hari lepas, kerajaan negeri meluluskan jumlah tambahan RM75 juta itu.

Pakej bantuan itu termasuk bayaran tunai “one-off” RM500 masing-masing kepada sejumlah 14,012 peniaga kecil dan penjaja berlesen, 1,367 pemandu pelancong berdaftar serta 18,657 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat; penambahan RM200 dalam wang insentif tahunan kepada 2,248 pemandu teksi dan 318 penarik beca; serta bayaran tunai “one-off” RM300 kepada 10,000 pemandu e-hailing.

Beliau turut mengumumkan bayaran khas kewangan “one-off” RM300 kepada petugas barisan hadapan, antaranya 4,791 kakitangan kedua-dua pihak berkuasa tempatan dan 10,511 kakitangan pelbagai agensi/jabatan kerajaan persekutuan seperti Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk tujuan perolehan bekalan peralatan keselamatan diri seperti enam juta penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman, termometer infra merah dan sebagainya.

Chow berkata kerajaan negeri juga akan memberikan pengecualian sewa selama dua bulan kepada sejumlah 4,860 keluarga yang menduduki Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kelolaan kerajaan negeri selain pengecualian sewa sebulan untuk 10,999 premis perniagaan milik kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang merangkumi pasar awam, lot kedai dan sebagainya.

“Kerajaan negeri akan mewujudkan Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang bagi membantu usahawan mikro dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS).

Bantuan lain yang diumumkan termasuk bayaran tunai “one-off” RM500 kepada pesakit yang disahkan positif COVID-19 manakala RM1,000 kepada waris pesakit yang meninggal dunia, bantuan khas kewangan secara “one-off” RM1,000 kepada masjid dan RM500 kepada surau serta bantuan zakat sebanyak RM3 juta kepada golongan asnaf.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story