Siakap Keli

Covid-19: UniMAP Guna Teknologi Pengesanan Pantau Pelajar Dan Kakitangan

ARAU, 25 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggunakan teknologi pengesanan lokasi, bagi memantau keselamatan 17,000 pelajar dan kakitangannya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Canselornya Prof Dr R Badlishah Ahmad berkata, melalui teknologi itu, kesemua warga UniMAP boleh mengemas kini kedudukan masing-masing tidak kira di mana mereka berada, dan pihak universiti akan membuat analisa data keberadaan mereka, sepanjang tempoh PKP.

Katanya, bagi memastikan tahap keselamatan data peribadi kakitangan dan pelajar, akses kepada analisis data itu hanya terhad kepada beberapa individu sahaja.

“Sebelum ini, kita memperkenalkan teknologi koordinat sistem kedudukan global (GPS), sebagai sebahagian daripada inisiatif mencegah penularan wabak COVID-19, bagi menggantikan kaedah ‘cap ibu jari’ yang dilihat tidak selamat dan mempunyai risiko penyebaran virus COVID-19, yang lebih tinggi.

“Susulan perbincangan berterusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana UniMAP, kami merasakan perlu untuk memanjangkan inisiatif ini, bagi memudahkan pemantauan hampir 15,000 pelajar serta 2,000 warga UniMAP, sepanjang tempoh dua minggu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif terbaharu itu, susulan situasi terkini wabak COVID-19 dengan beberapa lokasi  dikenal pasti sebagai kawasan zon merah, oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Melalui teknologi pengesanan lokasi ini kita boleh mengetahui lokasi pelajar, yang boleh dipadankan dengan data kawasan mempunyai kes COVID-19. Ini seterusnya akan memudahkan universiti untuk merangka keperluan saringan kesihatan, sebaik sahaja pelajar kembali ke kampus selepas tamat tempoh ini,” katanya.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang