Siakap Keli
Gambar: Bernama

COVID-19: USIM Hasilkan Pelindung Muka Untuk Petugas Kesihatan

Bagi menyokong usaha kerajaan dalam menangani wabak COVID-19, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka untuk diagihkan kepada petugas kesihatan.

Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam kenyataan di sini memaklumkan sebagai permulaan, 40 unit telah berjaya disiapkan dengan 22 daripadanya telah pun diagihkan ke Hospital Ampang, Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Projek yang digerakkan oleh kumpulan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi yang diketuai Dr Mohd Ifwat Mohd Ghazali itu menggunakan dana USIM sepenuhnya, dihasilkan bagi membantu menambah kekurangan kelengkapan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

”Memahami situasi semasa yang dihadapi oleh anggota kesihatan, dengan rasa tanggungjawab untuk turut sama membantu dan memberi sokongan berterusan kepada barisan hadapan, USIM menghasilkan alat pelindung muka untuk disumbangkan ke hospital yang memerlukan secara percuma,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak lima mesin cetakan 3D dengan setiap daripadanya mampu menghasilkan lima hingga 10 unit sehari digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan pelindung muka yang menggunakan bahan seperti 3D filaments, A4 transparent sheets, foam padding, gam, pita pelekat dan getah anjal.

Terdapat juga permintaan dari hospital dan klinik kesihatan lain untuk dibekalkan pelindung muka dan USIM akan cuba memenuhinya dalam masa terdekat, tambah kenyataan itu.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right