Siakap Keli
Gambar: Bernama

PKP: JAIS Tangguhkan Lagi Permohonan Akad Nikah

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melanjutkan lagi penangguhan semua urusan berkaitan permohonan dan majlis akad nikah di negeri ini sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dikuatkuasakan sejak 18 Mac, berakhir.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata walaupun keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor baru-baru ini berkaitan keharusan melaksanakan akad nikah menerusi sidang video, ia hanyalah sebagai panduan hukum dan tidak akan dilaksana buat masa ini.

“JAIS sangat memahami situasi ini dan berharap semua pihak dapat bekerjasama mematuhi PKP yang sedang berkuat kuasa. Marilah kita bersama-sama terus berdoa agar ancaman wabak COVID-19 ini tidak berpanjangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya akan membuat sebarang keputusan yang wajar dari semasa ke semasa mengikut pertimbangan jabatan itu bagi keadaan tertentu yang memerlukan perhatian JAIS.

Pada 20 Mac, JAIS menangguhkan semua permohonan majlis akad nikah di negeri itu selepas beberapa jurunikahnya dikuarantin kerana disyaki ada kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19.

Semalam, kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan PKP hingga 14 April ini susulan kes positif COVID-19 masih berlaku.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right