Siakap Keli

Polis Petaling Jaya Tangkap 15 Individu Tak Patuh Perintah Kawalan Pergerakan

PIHAK polis telah menahan seramai 15 individu yang didapati ingkar terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan semalam melibatkan dua lelaki warganegara Myanmar berumur lingkungan 30an yang ditahan di sekatan jalan raya di Tol Subang SKVE pada pukul 4 petang.

“Pada hari yang sama, tiga lelaki India berumur sekitar 25 ke 30 tahun turut ditahan pada pukul 11 malam kerana berkumpul di kawasan Dewan Harmoni, Pangsapuri PKNS Blok 3 Kampung Lindungan

“Bagi hari kedua (hari ini), pihak polis telah menahan seorang lelaki Cina berumur 39 tahun dalam sekatan jalan raya Lebuhraya NPE menghala Tol PJS 2 pada pukul 2.35 pagi tadi,” jelasnya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Dalam pada itu, tangkapan keempat pula melibatkan seorang perempuan Melayu berumur 27 tahun yang ditahan di sekatan yang sama pada pukul 4.05 pagi.

“Manakala bagi tangkapan kelima pada pukul 3.30 pagi melibatkan tiga lelaki berumur antara 18 ke 40 tahun yang menunggang motosikal di Jalan PJU 1/41B Ara Damansara tanpa sebarang tujuan.

“Dan tangkapan keenam pada pukul 4 pagi melibatkan enam lelaki India yang berkumpul di Taman Permainan Blok 9 dan 10, Desa Mentari,” tambahnya lagi.

Menurutnya, kesemua tangkapan di atas adalah dalam tempoh 24 jam dan mereka akan disiasat di bawah Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) 2020 yang mana sekiranya disabit kesalahan, hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Facebook

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'