Siakap Keli

Covid-19: MB Perak Potong Gaji Dua Bulan

Ipoh: Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan pemotongan dua bulan gaji beliau bermula bulan depan untuk disalurkan kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan keputusan Kabinet untuk memotong dua bulan gaji Perdana Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan ke Tabung COVID-19.

Katanya kerajaan negeri turut mengalu-alukan badan-badan korporat dan pihak swasta untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

“Kerajaan negeri Perak juga akan terus mengkaji inisiatif bantuan khas tambahan bagi memastikan nasib golongan sasar mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kematian pertama akibat COVID-19 di di negeri itu melibatkan seorang lelaki berusia 62 tahun yang berasal dari Kajang, Selangor.

“Kita percaya pasukan perubatan di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh telah melakukan yang terbaik untuk merawat mangsa sejak dirujuk ke hospital itu pada 23 Mac lepas. 

“Sementara Kementerian Kesihatan menjalankan siasatan ke atas kemungkinan kaitan mangsa dengan mana-mana kluster COVID-19, kita perlu berasa bimbang kerana daerah Hilir Perak dan Kinta diklasifikasikan sebagai Zon Merah selepas masing-masing mencatatkan 48 dan 41 kes positif sehingga semalam,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal sekali lagi menyeru rakyat Perak untuk bersatu hati dan memberikan kerjasama kepada usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 termasuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan serta mengamalkan jarak sosial jika terpaksa keluar.

Beliau turut mengajak semua umat Islam untuk melaksanakan solat hajat di kediaman masing-masing selepas solat Zohor hari ini bagi memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar Malaysia segera bebas daripada ancaman wabak COVID-19.

“Semoga dikurniakan kesembuhan sepenuhnya buat semua pesakit dan para petugas barisan hadapan, khususnya kakitangan Hospital Teluk Intan yang disahkan positif jangkitan COVID-19,” katanya.

Setakat 12 tengah hari, sebanyak 151 kes jangkitan COVID-19 direkodkan di Perak melibatkan semua daerah kecuali Kampar.

Sumber: Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.