Covid-19: Pemakaian Sarung Tangan Di Tempat Awam Kurang Digalakkan – Pakar Perubatan

Pemakaian sarung tangan di tempat awam kurang digalakkan kerana faktornya yang mengurangkan deria sentuhan sekali gus tidak menjamin keselamatan pemakai daripada dijangkiti sebarang penyakit termasuk COVID-19.

Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Seremban Dr Nor Izran Hanim Abdul Samad berkata memakai sarung tangan boleh menimbulkan sedikit bahaya kerana mampu memberikan ‘gambaran palsu’ kepada pemakainya apabila mereka menyentuh sebarang permukaan.

“Contohnya, sekiranya kita menyentuh sesuatu permukaan yang berdebu atau berminyak, kita akan terus mencuci tangan tetapi apabila seseorang itu memakai sarung tangan dan tersentuh pada permukaan yang berdebu atau berminyak maka sentuhan sebenar tidak dapat dirasai.

“Ini akan memberi ‘gambaran palsu’ bahawa kita rasa yang kita selamat tetapi mungkin secara tidak sengaja kita dah pindahkan kekotoran atau kuman ke tempat lain seperti baju dan kulit tanpa kita sedari,” katanya ketika menjadi panel ‘FB Live @ KKM Khas Kenali COVID-19’ melalui halaman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Dr Nor Izran Hanim berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang pengguna Facebook (Zarina Rahman) yang ingin tahu adakah penggunaan sarung tangan digalakkan semasa membeli barangan di pasar raya.

Seorang lagi panel, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Puchong Batu 14, Dr Izwan Effendy Ismail pula berkata sarung tangan perlu diberikan keutamaan kepada semua petugas hadapan khususnya anggota Kementerian Kesihatan yang terlibat dalam menangani wabak penyakit itu.

“Saya rasa sarung tangan mungkin stok seakan sama seperti penutup hidung dan mulut pembedahan… mungkin (stok) agak kritikal maka (sarung tangan) lebih diperlukan kepada anggota kesihatan,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini, orang ramai seharusnya mengikut saranan berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang masih menggariskan panduan mencuci tangan, kebersihan diri dan jarakan sosial.

“Akhirnya kita akan berbalik semula kepada membersihkan tangan sebab apa-apa pun kita perlu kerap mencuci tangan selepas memegang permukaan biasa seperti lif, susur tangan dan sebagainya,” katanya sambil menambah tiada bilangan tepat mengenai berapa kali seseorang itu perlu mencuci tangan.

Namun, beliau menasihati orang ramai agar mencuci tangan menggunakan sabun sekurang-kurangnya 20 saat kerana ia merupakan langkah efektif untuk menyingkir kuman atau menggunakan cecair pencuci kuman.

Sementara itu, ditanya pengguna Facebook (Muna Abdullah) mengenai adakah peluh dikategorikan sebagai titisan, Dr Izwan Effendy berkata: “Tidak. Titisan adalah melalui permukaan mukosa iaitu titisan hidung dan mulut sahaja…jadi, virus ini tidak keluar melalui peluh.”

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: syafiq halim

Tambah komen

Dari Wiser.my