Siakap Keli
Gambar: Bernama

Malaysia Dipilih Buat Penyelidikan Penggunaan Ubat Remdesivir Untuk Pesakit Covid-19

Malaysia antara negara yang dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan penyelidikan penggunaan ubat Remdesivir untuk pesakit COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata antara kriteria yang menyebabkan Malaysia dipilih untuk melaksanakan penyelidikan itu adalah kerana keupayaan dan kemampuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan kajian.

“Antara sebab yang kita dipilih ialah kita dah dikenal pasti sebagai negara yang mempunyai sistem kesihatan penyelidikan yang baik dan mungkin sebab itu WHO memilih KKM untuk melaksanakan penyelidikan ini secara bersama.

“Penyelidikan ini akan tertumpu di Hospital Sungai Buloh dan hospital-hospital yang mengendalikan pesakit COVID-19, yang KKM akan memberi rawatan kepada pesakit menggunakan ubat yang terbaru (Remdesivir).

“KKM juga akan turut memantau kesan sampingan, kemujaraban ubat ini dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata butiran lanjut seperti tempoh kajian dan sebagainya mengenai penyelidikan keberkesanan ubat Remdesivir ini akan dibincangkan dengan pihak WHO malam ini.

“Malam ini kami akan buat perbincangan secepat mungkin dan kalau dapat ubat itu, kita akan terus laksanakan penyelidikan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KKM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menggunakan teknologi dan kaedah terkini bagi mengesan kumpulan sasar yang berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 dan menjalankan ujian saringan terhadap mereka.

“Selepas ujian kalau didapati positif, kami akan mengeluarkan mereka daripada komuniti dan merawat mereka di hospital. Kalau negatif kami akan syorkan duduk dalam rumah untuk kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Kalau kami dapat kesan positif daripada peringkat pertama iaitu tiada gejala dan peringkat kedua ada gejala tetapi ringan maka keupayaan mereka untuk sembuh adalah tinggi berbanding yang datang mendapatkan rawatan apabila sesak nafas sehingga kami perlu beri bantuan pernafasan sehingga peringkat keempat dan kelima,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right