Siakap Keli
Gambar: Bernama

PKP: Bacaan SO2, NO2 Dalam Udara Turun Di Bandar-Bandar Utama

Bacaan SO2 (sulfur dioksida) dan NO2 (nitrogen dioksida) dalam udara menurun selaras dengan pengurangan bilangan kenderaan motor di jalan raya terutama di bandar-bandar utama susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini, berdasarkan pemerhatian di stesen Batu Muda, Cheras dan Putrajaya, mendapati kadar SO2 menurun antara 23 hingga 34 peratus manakala NO2 pula menurun antara 48 hingga 75 peratus.

Trend bacaan SO2 dan NO2 itu didapati menurun sejak PKP berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Bagi bacaan PM2.5 untuk mengukur indeks pencemaran udara, JAS memaklumkan bahawa tiada perbezaan ketara ditunjukkan sebelum dan selepas PKP dilaksanakan kerana ia dipengaruhi oleh cuaca panas dan kering serta masih terdapat aktiviti menghasilkan habuk halus yang lebih dominan.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 2 petang ini, merekodkan sebanyak 36 kawasan mempunyai IPU baik, manakala 32 lagi IPU sederhana.

Bagi menangani cuaca panas dan kering semasa pelaksanaan PKP, JAS akan membuat rondaan harian ke kawasan yang berisiko tinggi berlakunya insiden pencemaran udara.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right