Siakap Keli

(Video) 3,468 Rakyat Malaysia Masih Terkandas Di 61 Negara Setakat Hari Ini

Seramai 3,468 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 61 buah negara.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, mereka yang terkandas ini merujuk kepada rakyat Malaysia yang kebetulan berada di luar negara atas urusan kerja, urusan keluarga ataupun bercuti.

“Mereka telah mempunyai tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia tetapi tidak dapat pulang kerana halangan perjalanan atau syarikat membatalkan penerbangan tersebut disebabkan pandemik COVID-19.

“Usaha membawa pulang rakyat Malaysia ini bukan mudah dan terdapat pelbagai cabaran,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Putra, di sini hari ini.

Kamarudin menjelaskan, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi seperti kebanyakan negara mengisytiharkan lockdown dan kerajaan Malaysia perlu berunding dengan negara terlibat bagi mendapatkan kelulusan.

“Setakat ini menerusi hubungan baik Malaysia dengan pelbagai negara, sebahagian besar rundingan kita menemui hasil, tapi ada beberapa negara lain yang masih perlu berunding lagi dan ia agak memakan masa.

“Selain itu, tiada langsung pesawat komersial yang dibenarkan beroperasi untuk membawa mereka pulang ke Malaysia.

“Namun Alhamdulillah, biarpun peruntukan kita terhad, kita dapat bantuan ehsan daripada mereka yang sentiasa prihatin bagi membiayai pesawat khas untuk membawa pulang rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Sumber: Wisma Putra

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.