Siakap Keli

PKP: 11 Individu Termasuk Warga Asing Ditahan Ketika Joging Kerana Ingkar Arahan Polis

Gara-gara tidak mengendahkan arahan polis susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 11 lelaki ditahan ketika joging di sekitar Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur  Datuk Seri Mazlan Lazim berkata menerusi rondaan dan penguatkuasaan di kawasan itu, empat warga Jepun, dua warga tempatan, dua warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga India, Amerika Syarikat dan United Kingdom ditahan kerana melanggar arahan dikeluarkan.

“Mereka ditahan kerana tidak mengendahkan amaran dan nasihat diberikan pihak polis serta memberikan alasan tidak munasabah bagi mengelakkan diri daripada ditahan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan.

Kesemua individu itu dirakam percakapan mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan dibebaskan dengan jaminan polis setelah selesai proses siasatan,  katanya.

Mazlan berkata kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya manakala kes disiasat di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right