Siakap Keli
Kredit: Metro UK/Google

Remaja Perancis Dipercayai Jadi Pesakit Termuda Meninggal Dunia Di Eropah Akibat COVID-19

Daripada batuk biasa dan simptom ringan, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Perancis menjadi pesakit termuda yang meninggal dunia akibat COVID-19 pada Khamis lalu.

Menurut Metro UK, yang hanya dikenali sebagai Julie A dilaporkan mula menunjukkan simptom jangkitan kurang seminggu lalu dan dipercayai tidak mempunyai sebarang penyakit sebelum ini.

“Ia tak dapat ditanggung, ia hanya batuk,” kata ibunya, Sabine yang ralat atas pemergian anaknya.

Pada Sabtu 21 Mac, Julie mula menunjukkan simptom batuk ringan dan sedikit kesukaran bernafas. Mereka cuba merawatnya dengan ubat batuk dan alat sedut (inhaler).

“Keadaan tak teruk, tapi dia alami kesukaran bernafas,” kata ibunya. Namun setelah batuknya semakin teruk dua hari kemudian, mereka membawa Julie berjumpa doktor.

Setelah memeriksa remaja itu, doktor mengambil keputusan untuk melaporkan kepada Perkhidmatan Perubatan Kecemasan di mana dua orang petugas bomba akhirnya tiba dengan sut perlindungan.

Petugas itu kemudiannya membawa Julie ke sebuah hospital terdekat di mana mangsa menjalani ujian koronavirus.

Biarpun hasil ujian belum diperoleh, Julie telah dipindahkan ke sebuah hospital kanak-kanak di Paris dan menjalani dua lagi ujian COVID-19.

Keesokan harinya, dia dipindahkan ke unit kecemasan. Dia boleh bercakap namun cepat penat, ujar ibunya.

Walaubagaimanapun, dua ujian koronavirus yang terbaru menunjukkan dia negatif virus itu.

Tambah Sabine, pada awalnya dia dimaklumkan pihak hospital bahawa Julie berada dalam keadaan baik, sehinggalah mereka dipanggil ke sana dalam kadar segera.

Keputusan ujian pertama keluar

Dia ditelefon dan dimaklumkan bahawa ujian pertama koronavirus baru dikeluarkan dan anaknya sah positif COVID-19.

“Kami tak percaya. Kami beritahu diri kami sendiri keputusan itu salah. Dan kenapa keputusan ini keluar lambat?” ujar Sabine.

“Pada awalnya, kami diberitahu virus tidak menjejaskan orang muda. Kami percaya, seperti orang lain,” dakwa kakak mangsa, Manon.

Menurut Pengarah Umum Kesihatan, Profesor Jerome Salomon, Julie telah dijangkiti virus COVID-19 yang kuat yang jarang berlaku pada orang muda.

Setibanya mereka tiba ke hospital, Julie telah disahkan meninggal dunia.

Kesemua barang milik Julie terpaksa dibakar, namun ibu dan kakaknya sempat menyimpan kalung baptis dan salah satu rantai tangannya.

Malah, keranda yang menempatkan mayatnya juga tidak boleh dibuka dan hanya 10 orang sahaja dibenarkan berada di tempat pengebumian.

Sumber: Metro.co.uk, Euronews, The Sun, France24

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.