Siakap Keli
Kredit: WWF Malaysia/Sustainability Times/Google

”Mungkin Tak Jauh Dari Tempat Saya Berdiri”, Lelaki Kongsi Pengalaman Jumpa Tapak Kaki Harimau Masa Masuk Hutan

Biarpun wajahnya berada di logo-logo seperti jata negara, PDRM dan menjadi simbolik negara kita, ironinya, bilangan harimau Malaya di negara kita kini semakin berkurang.

Menurut laporan World Wildlife Fund Malaysia (WWF), kini hanya kurang 200 harimau spesies itu yang masih wujud di dunia dan menjadi spesies terancam yang dikhuatiri bakal pupus.

Bagi memantau haiwan tersebut, pasukan WWF Malaysia telah mengembara ke sebuah hutan di Perak untuk memasang perangkap kamera khas dengan bantuan Orang Asli tempatan. Jom kita baca perkongsian Shariff Mohamad, Koordinator Landskap Harimau WWF Malaysia.

Ia adalah satu perjalanan yang jauh dari tempat kami tinggalkan pacuan 4 roda kami. Menjelang petang, kami sampai di sebatang sungai yang jernih dan agak besar pada ketinggian lebih kurang 1,000 meter. Kami sudah merancang untuk berkhemah di tepi sungai ini pada malam pertama, dan berpindah ke kawasan hulu sungai supaya lebih dekat dengan tempat kami memasang perangkap kamera.

Semasa berjalan dengan beg galas kami di belakang, kami sangat gembira melihat kesan tapak kaki seladang tunggal di sepanjang sungai. Malahan, kami bertambah teruja apabila menemui kesan tapak harimau yang masih baharu, tidak jauh dari tempat kami ingin mendirikan khemah.

Dengan melihat pada kesan tapak kaki itu saya dapat menjangkakan ianya seekor harimau dewasa dan ia mungkin berada tidak jauh daripada tempat saya berdiri. Walaupun sebelum ini saya pernah banyak kali melihat kesan tapak kami harimau, tetapi kali ini saya merasakan harimau tersebut seperti mengalu-alukan kedatangan kami ke tempat ini.

Walaupun begitu, saya dapat mengesan rasa ketidakselesaan pembantu Orang Asli kami dengan rancangan asal untuk berkhemah di tepi sungai itu, iaitu kawasan laluan seladang dan juga harimau. Saya cuba meredakan rasa takut mereka dengan mencadangkan supaya kami memasang khemah di sungai yang kecil tak jauh dari saluran sungai besar. Mereka bersetuju dan Alhamdulillah tiada perkara yang buruk terjadi.

Pak Belang akan elak manusia

Orang kata kalau masuk hutan, kena hati-hati takut akan berjumpa dengan Pak Belang. Sebenarnya, peluang untuk terserempak dengan seekor harimau di hutan sangat tipis, apatah lagi mengalami insiden yang tidak diingini. Pak Belang sebenarnya akan cuba mengelak diri daripada berdepan dengan manusia, sama seperti haiwan liar yang lain.

Salah satu sebab utama mengapa mereka akan menyerang ialah jika mereka merasa terancam terutamanya jika mereka mempunyai anak atau jika mereka mengalami kecederaan.

Walaubagaimanapun, langkah berjaga-jaga wajib sentiasa diambil untuk mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

Harimau Malaya kita semakin diancam kepupusan dek kerana pemburuan haram dan kehilangan habitat asal akibat pembangunan yang tidak terkawal. Sekarang kita hanya ada kurang daripada 200 ekor sahaja harimau dan tidak mustahil dalam masa 2 tahun lagi kita akan kehilangan kesemua harimau yang kita ada pada hari ini jika kita tidak bertindak sekarang.

Jika tidak sekarang, bila lagi. Jangan jadikan kita sebagai generasi yang hanya membiarkan harimau Malaya kita pupus buat selamanya. Bantu kami selamatkan harimau Malaya di wwf.org.my/EarthHour.

Sumber: WWF Malaysia

Amira

Love yourself.