Siakap Keli

(Video) NGO Tak Dibenar Edar Bantuan Sendiri Sebab Mereka Tak Tahu Penerima Bebas COVID-19 Atau Tidak- Ment. Pertahanan

TIMBUL ketidakpuashatian daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) ekoran arahan kerajaan semalam yang melarang sebarang sumbangan dihantar terus kepada penerima.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan pelaksanaan arahan tersebut adalah berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar keselamatan ahli NGO terjamin.

“Seperti yang kita tahu, mereka akan hantar sendiri (bantuan) kepada penerima, yang mereka tidak tahu adakah penerima itu bersih dari COVID-19 atau tidak.

“Yang kita bimbang, kalau kita tidak dapat tentukan, tahu-tahu ada kalangan NGO tiba-tiba dijangkiti COVID-19 dan akhirnya akan merebak kepada ahli mereka, keluarga dan sebagainya,” jelasnya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Menurut Ismail, atas faktor itulah KKM menasihatkan, walaupun NGO ingin menyumbang tetapi kepentingan kesihatan dan nyawa mereka juga perlu diutamakan.

Dalam pada itu, kerajaan akan mencari jalan untuk bertemu dengan wakil NGO bagi berbincang mengenai kaedah terbaik.

“Pihak kerajaan terutamanya Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri sentiasa mendengar setiap pandangan yang diberi rakyat tentang bagaimana kita nak improve apa yang kita buat.

“Jadi InsyaAllah, kita dengar pandangan mereka, kita akan berjumpa dan berbincang dengan wakil-wakil NGO bagi membincangkan apa yang terbaik untuk kita bantu mereka meneruskan sumbangan bantuan kepada penerima,” ujarnya.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.