Siakap Keli

Ada Sejarah Perjalanan Ke Luar Negara Wajib Asingkan Diri Dari Keluarga Selama 14 Hari – KKM

Menerusi sidang media mengenai Perkembangan Khas Covid-19 yang melanda di negara kita, Dr Noor Hisham Abdullah ada menekankan kepada individu yang mempunyai sejarah ke luar negara untuk mengasingkan diri daripada keluarga dan orang terdekat. Ia dapat membantu untuk mencegah wabak pandemik Covid-19 ini.

Bagi individu yang telah diarahkan untuk menjalani ‘home/self surveillance’ pastikan anda mematuhi tatacara Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang telah ditetapkan. Untuk makluman, Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah ini merupakan arahan yang termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

KKM ingin menasihatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, anda perlu mengasingkan diri anda daripada bergaul rapat dengan ahli keluarga atau orang yang tinggal serumah dengan anda selama 14 hari, 24 jam sehari. Dalam tempoh ini, anda dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan seperti amalan kebersihan diri yang baik, kerap mencuci tangan dan social distancing (jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter) dari orang lain.

Dalam tempoh 14 hari ini, anda juga diminta memantau diri atau sebarang gejala seperti demam, batuk, selsema, sakit tekak atau sesak nafas. Sekiranya anda mengalami mana-mana gejala tersebut, SEGERA buat panggilan ke fasiliti kesihatan terdekat dan maklumkan status anda kepada petugas kesihatan.Sumber: KKM

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang