Siakap Keli
Foto: Facebook

Covid-19: Operasi Sanitasi Awam Di Enam Zon Merah Mulai Hari Ini – Zuraida

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Pelaksanaan kerja sanitasi awam hari ini dijalankan di enam daerah zon merah iaitu Lembah Pantai, Petaling, Hulu Langat, Seremban, Johor Bahru dan Kluang dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata operasi itu melibatkan antaranya sanitasi perabot jalan, kemudahan awam, pasar awam, laluan siar kaki, hab pengangkutan serta di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berada di dalam daerah zon merah.

“KPKT memohon supaya komuniti setempat di kawasan yang terlibat untuk memberi kerjasama agar pelaksanaan kerja-kerja sanitasi awam ini dapat dijalankan dengan baik.

“KPKT akan mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi di tempat awam manakala bagi premis-premis persendirian, kerja-kerja sanitasi perlu dilaksanakan oleh pemilik dengan tanggungan sendiri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam operasi sanitasi awam yang pertama kali diadakan hari ini, Zuraida turut turun padang menyaksikan kerja pembersihan itu yang dijalankan di Masjid Al-Falah, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang dan Pasar Awam Jalan Othman, Petaling Jaya.

KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaku ketua operasi dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) diberi tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi awam itu.

Zuraida berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri dan daerah terlibat bersama dengan SWCorp melalui syarikat-syarikat konsesinya yang akan melaksanakan kerja sanitasi awam ini termasuk di negeri yang tidak menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Katanya, pelaksanaan kerja-kerja sanitasi awam ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa pertama melibatkan kawasan kes tinggi (zon merah) dan kerja sanitasi akan dijalankan secara serentak dan fasa kedua melibatkan kawasan kes sederhana (zon jingga) dan kerja sanitasi akan dijalankan secara berperingkat.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang