Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Terengganu Batal Penganjuran Bazar Ramadan Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 30 Mac — Kerajaan Negeri Terengganu hari ini mengumumkan pembatalan penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu Bagi Menangani COVID-19 yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam.

“Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan lagi sehingga 14 April iaitu 10 hari sebelum Ramadan dan mengambil kira suasana tidak menentu ketika ini, kerajaan negeri telah mengkaji kesesuaian pelaksanaan bazar Ramadan tahun ini.

“Ini disebabkan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar dan akan memberi kesan kepada kebarangkalian untuk berlaku penularan semula COVID-19 sekaligus merencatkan usaha kerajaan untuk membasmi wabak ini sepenuhnya.

“Bagi mencapai hasrat pembasmian wabak ini secara total, kerajaan negeri meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Dr Alias berkata kerajaan negeri menyarankan kepada para peniaga bazar Ramadan untuk membuat persediaan akibat pembatalan ini dengan mempertimbangkan pilihan lain untuk menjana pendapatan.

“Peniaga disaran mengusahakan pemasaran perniagaan secara dalam talian, perkhidmatan penghantaran ke rumah untuk sebarang bentuk produk termasuk makanan, menggunakan platform seperti Grab Food, Food Panda atau yang seumpama dengannya.

“Kerajaan negeri telah pun memperhalusi perkara ini dengan sebaiknya dan pembatalan ini dibuat setelah mengambil kira kemaslahatan kesihatan serta nyawa semua pihak. Semoga kita semua dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menempuhi ujian ini,” katanya.

Sebelum ini, Negeri Sembilan memutuskan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan di semua kawasan PBT di negeri itu sebagaimana diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada 26 Mac lepas.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story