Siakap Keli
Gambar: Noor Hisham Abdullah

Dedikasi Petugas Kesihatan Perangi COVID-19 Sangat Menakjubkan- KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) — Selepas 67 hari negara dilanda wabak COVID-19 sejak kes pertama pada 25 Jan lepas, insan bergelar petugas kesihatan merupakan antara barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam memerangi virus membunuh ribuan nyawa di seluruh dunia.

Menghargai segala pengorbanan dan penat lelah mereka, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah secara peribadi menzahirkan rasa bangga dan menyifatkan dedikasi serta keikhlasan yang ditunjukkan ‘wira berbaju putih dan biru’ dalam menghadapi pandemik luar biasa yang melanda dunia sejak awal tahun sememangnya amat menakjubkan.

Katanya setiap petugas kesihatan di sektor awam mahupun sektor swasta telah menunjukkan iltizam yang tinggi dan berusaha sebaik mungkin dalam usaha menangani COVID-19.

“Ramai yang telah meninggalkan orang yang tersayang di rumah dan mengorbankan masa dan keselesaan untuk berada di barisan hadapan demi merawat pesakit kita. Kementerian menghargai setiap daripada anda serta segala kudrat yang telah dan sedang anda curahkan setiap hari.

“Terima kasih kepada anda semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Situasi yang dihadapi ketika ini adalah suatu pengalaman baharu bagi semua, dan bagi mengharunginya, beliau berkata sektor kesihatan negara telah merancang dan bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan.

Menzahirkan keyakinan dengan penglibatan petugas daripada semua peringkat, Ketua Pengarah Kesihatan itu percaya mereka melakukan yang terbaik demi memastikan keselamatan semua pihak kerana kesihatan awam adalah menjadi keutamaan.

Dr Noor Hisham, yang juga pakar bedah, berkata negara sedang melalui suatu tempoh yang sangat getir dan setiap rakyat telahpun terkesan akibatnya, malah dalam menangani peristiwa tidak diduga berlaku dalam  sejarah, langkah baharu telah dilaksanakan termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan pelbagai sumbangan kepada petugas di barisan hadapan.

“Kepada para penyumbang kami, sememangnya kami amat terharu tatkala menyaksikan kemurahan hati sebegitu banyak individu dan organisasi, kecil dan besar, tempatan dan antarabangsa. Bagi pihak petugas di barisan hadapan, saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Dalam menentukan kemenangan memerangi COVID-19 yang sehingga kini telah meragut 37 nyawa di Malaysia, Dr Noor Hisham meletakkan harapan tinggi kepada orang ramai untuk menghentikan pandemik itu daripada terus menular.

Menzahirkan harapan tinggi supaya orang ramai mematuhi PKP dengan terus berada di rumah, beliau berkata peranan masyarakat adalah penting dalam meratakan lengkungan penularan COVID-19, sekali gus membolehkan lebih banyak masa dan kapasiti fasiliti kesihatan untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan.

“Setiap rakyat Malaysia mesti memainkan peranan mereka dalam memerangi pandemik ini,” katanya.

— BERNAMA

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa