Siakap Keli
Gambar:BERNAMA

Lebih 30,000 Kes Denggi Dilaporkan Sejak 29 Dis 2019 – CPRC

KUALA LUMPUR, 31 Mac  — Sebanyak 34,238 kes denggi dilaporkan dari 29 Dis 2019 hingga 28 Mac tahun ini, demikian menurut Laporan Situasi Semasa Denggi, Chikungunya dan Zika di Malaysia bagi Tahun 2019 dan 2020.

Laporan yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) itu menunjukkan penurunan 2,047 kes (5.6 peratus) berbanding 36,285 kes pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Laporan itu memaklumkan hanya satu kematian akibat denggi dilaporkan pada minggu ke-13 (22 hingga 28 Mac) dengan jumlah kumulatif 49 kematian berbanding 59 kematian pada tempoh sama tahun lepas.

“Sebanyak 1,287 kes denggi dilaporkan pada tempoh sama (minggu ke-13) iaitu penurunan 31 peratus berbanding minggu sebelumnya,” menurut laporan itu, yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, tiada kes positif Zika dilaporkan di Malaysia pada tempoh sama.

Laporan itu juga menyatakan, berdasarkan pengawasan Zika yang dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), sebanyak 529 sampel darah dan sembilan sampel air kencing diterima dalam kalangan individu dengan gejala dan tanda-tanda disyaki Zika telah disaring.

Bagi penyakit Chikungunya pula, enam kes dilaporkan semasa minggu ke-13, menjadikan jumlah 389 kes yang direkodkan dari 29 Dis 2019 hingga 28 Mac tahun ini.

— BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story