Siakap Keli
Gambar: Bernama

PKP: Masa Untuk ‘Jaga Tepi Kain Orang’, Membantu Golongan Memerlukan

Kata-kata “tengok-tengokkan dan jagalah tepi kain orang untuk membantu mereka yang memerlukan di kawasan anda”, mendorong seorang pemilik restoran, Suthan Mookiah, 34, untuk memulakan program kebajikannya sendiri dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)..

Menerusi program ‘Pek Percuma Barang Runcit’, beliau mengumpulkan barangan penting untuk disumbangkan kepada keluarga yang tinggal di pangsapuri kos rendah berdekatan Kajang dan Cheras, dengan dibantu ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Kami memulakan keseluruhan program ini secara spontan minggu lepas. Kami menyediakan beg mengandungi beras, minyak masak, biskut, sardin tin, air mineral dan juga mee segera kepada 20 keluarga sehari,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.

Menjelaskan kaedah pengedarannya, Suthan berkata keluarga yang memerlukan bantuan boleh mengunjungi restoran miliknya, Centrepoint Bandar Sungai Long di Kajang, mulai  11 pagi hingga 1 tengah hari.

Mereka yang memerlukan juga boleh memberikan nama kepada restoran itu dan mengambil pek barangan runcit itu keesokan harinya.

Walaupun tahu PKP bertujuan untuk menghentikan penularan wabak COVID-19, namun beliau juga sedar ramai yang berdepan kesukaran dalam situasi kini.

“Ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat yang terkesan. Hari ini, seorang nenek berusia 90 tahun berjalan kaki 30 minit untuk mengambil beg bantuan daripada saya, manakala seorang lelaki pemandu pelancong yang tiada kerja sejak Januari (akibat COVID-19) juga sangat terdesak memerlukan bantuan ini.

“Pekerja asing juga tidak terkecuali kerana semua perniagaan ditutup sedangkan mereka dibayar gaji hari. Ada berjalan kaki 30 hingga 40 minit untuk mendapatkan pek ini,” katanya.

Selain menerusi mulut ke mulut, Suthan yang juga vlogger bebas dikenali sebagai VIPstn, menggunakan kuasa media sosial menerusi Facebook dan Instagram untuk menyebarkan misinya dan pada masa sama mengumpul dana.

Untuk aspek keselamatan, Suthan memastikan semua langkah diambil dengan sewajarnya, antaranya melakukan pemeriksaan setiap hari sekiranya ada sebarang penularan COVID-19 di kawasan sekitar.

“Kami juga memakai penutup hidung dan mulut, mengekalkan jarakan sosial yang ketat dan memastikan pengunjung bersurai dalam tempoh kurang lima minit. Tiada sesiapa pun dibenarkan berlegar-legar di sini,” katanya.

Ditanya sama ada beliau bimbang dengan jangkitan wabak itu, Suthan mengakui, “Sudah tentu saya takut kerana kita semua ada keluarga tetapi saya ambil perhatian apa yang sedang dilakukan para pegawai dan petugas perubatan saban hari.

“Selagi ia selamat untuk dilakukan, pergilah dan bantulah orang-orang miskin yang lebih memerlukan kita saat ini. Malaysia memerlukan sokongan rakyat untuk berjuang dalam ‘peperangan’ ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right