Siakap Keli

Covid-19: Lembaga Zakat Kedah Sediakan Platform Bayaran Zakat Fitrah Dalam Talian

ALOR SETAR, 1 April – Berikutan penularan wabak COVID-19, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menyediakan sistem kutipan zakat fitrah secara dalam talian bagi memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan itu pada tahun ini.

LZNK dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lembaga itu telah menyediakan beberapa platform pembayaran dalam talian iaitu di laman sesawang Jom Zakat (http://jom.zakatkedah.con.my); Asnaf Care (http://asnafcare.com.my) dan aplikasi Zakat On Touch (ZOT).

“Platform ini adalah untuk memudahkan orang ramai dan memastikan proses kutipan zakat fitrah di Kedah tahun ini berjalan dengan lancar berikutan wabak COVID-19 yang berkemungkinan tidak akan reda sepenuhnya menjelang Ramadan.

“LZNK juga sedang dalam proses menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah melalui E-Dompet seperti TouchnGo, Boost dan lain-lain serta akan turut bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi yang bersesuaian untuk memudahkan pembayaran zakat ini,” katanya.

LZNK berkata bagi golongan masyarakat yang tidak mempunyai kemudahan akses secara dalam talian, pihaknya akan merujuk kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat supaya membenarkan proses kutipan zakat dijalankan secara manual di kariah masing-masing tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Bagi tahun in, kadar zakat fitrah di Kedah dikekalkan seperti tahun lepas iaitu dengan tiga kadar RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras yang dimakan.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang