Siakap Keli

Remaja Berusia 13 Tahun Maut Akibat Covid-19, Mangsa Termuda Di UK

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang disahkan positif Covid-19 telah meninggal dunia, lapor BBC.

Remaja yang berasal daripada Brixton, selatan London itu dilaporkan telah meninggal dunia di King’s College Hospital awal pagi Isnin. Remaja itu juga merupakan mangsa termuda di UK yang telah meninggal dunia akibat wabak tersebut.

Wakil daripada hospital tersebut menyatakan bahawa hasil bedah siasat yang dilakukan tidak dapat memberikan butiran lanjut.

Menurut ahli keluarganya, mangsa tidak menghidapi sebarang penyakit lain dan disahkan positif koronavirus pada Jumaat lalu, sehari selepas dia dimasukkan ke hospital.

Koresponden kesihatan BBC, Nick Triggle berkata, remaja adalah golongan yang paling jarang sekali menjadi kritikal selepas dijangkiti dengan koronavirus.

“Hanya 0.3% daripada mereka yang menunjukkan simptom sahaja memerlukan penjagaan hospital dan 0.006% mati – dalam erti kata lain, dua daripada setiap 30,000 jangkitan di kalangan kumpulan umur ini tidak akan bertahan,” katanya.

“Tetapi ianya boleh berlaku, buktinya adalah kes ini.”

Keluarga remaja tersebut berkata, mangsa telah dimasukkan ke hospital di selatan London selepas dia mula menunjukkan simptom dan mengalami kesukaran bernafas.

“Dia menggunakan ventilator dan kemudian diletakkan dalam keadaan koma oleh pasukan perubatan, namun meninggal dunia pada Isnin pagi,” ujar keluarganya.

“Setahu kami, dia tidak mempunyai sebarang penyakit. Kami amat berdukacita.”

Sumber: BBC

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa