Siakap Keli

White House Anggar Jumlah Korban COVID-19 Di Amerika Boleh Cecah Lebih 200,000 Kematian

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata kepada rakyatnya bahawa mereka perlu bersedia menghadapi tempoh yang amat sakit.

Peningkatan yang lebih buruk dianggarkan apabila pandemik itu mungkin akan menyebabkan kematian kira-kira 200,000 hingga 240,000 orang dalam masa beberapa minggu atau bulan, menurut pasukan petugas khas COVID-19 di White House.

“Ini akan menjadi tempoh dua minggu yang amat-amat sakit.

“Saya mahu semua rakyat Amerika bersedia untuk menghadapi hari-hari yang sukar,” katanya di White House baru-baru ini.

Presiden AS, Donald Trump. Gambar: BBC

Dalam pada itu, menurut laporan Washington Post, Pasukan Petugas Coronavirus White House pada Selasa menjelaskan AS akan kekal mendahului negara-negara diserang jangkitan wabak dengan menjangkakan kira-kira 100,000 ke 240,000 kematian, walaupun sudah menjalankan langkah pencegahan seperti penjarakan sosial.

Kadar kematian di AS meningkat sebanyak 800 kes pada Selasa, menjadikan keseluruhan kematian melebih 3,800 kes, manakala kira-kira 800,000 kes positif direkodkan di seluruh dunia setakat hari ini.

Ketua Pasukan Petugas White House, Deborah Birx dan Anthony S. Fauci menekankan bahawa walaupun jangkaan sebanyak 100,000 ke 240,000 kematian, mereka berharap agar dapat menghindari angka tinggi tersebut dengan mematuhi protokol mitigasi (pengawalan) ketat.

Kadar taburan jangkitan COVID-19 di seluruh AS setakat semalam. Infografik: New York Times

Selain itu, memo antara White House dengan Pusat Kawalan Penyakit dan Perlindungan (CDC) menunjukkan pegawai persekutuan sedang membahaskan sama ada topeng muka perlu dipakai secara rutin di tempat awam kerana terbukti orang yang mengalami simptom boleh menyebarkan virus tersebut.

Wilayah Louisiana pula melaporkan peningkatan mendadak jumlah kes yang disahkan dalam masa 24 jam pada Selasa, dengan kadar jangkitan dan kematian meningkat sebanyak 30 peratus. Jumlah jangkitan terkini di wilayah tersebut adalah 5,237 kes dan 239 kematian pada Selasa.

Sementara itu, laporan terbaharu CDC menunjukkan kebanyakan orang dari pelbagai peringkat umur yang mengalami masalah kesihatan adalah sangat berisiko jika mereka terjangkiti virus itu, termasuklah mereka yang ada masalah sakit jantung atau paru-paru, diabetes dan perokok serta bekas perokok.

Sumber: BBC, Washington Post, Bussiness Insider, The Guardian

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.