Siakap Keli

Kementerian Alam Sekitar Tukar Nama, Kini Kementerian Alam Sekitar & Air (MEWA)

Kementerian Alam Sekitar secara rasminya menukar nama kementerian kepada Kementerian Alam Sekitar Dan Air atau singkatannya MEWA.

Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjenamaan semula kementerian tersebut telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 April, semalam.

“Penjenamaan ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk memberi tanggungjawab pengurusan air kepada MEWA yang turut bertanggungjawab dalam pelestarian alam sekitar.

“Perwujudan MEWA akan membolehkan sinergi antara dua aspek pengurusan air yang selama ini terpisah, iaitu sumber air dan perkhidmatan air.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab terhadap sumber air, sementara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertanggungjawab mengawal selia perkhidmatan air yang melibatkan bekalan air dan pembentungan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Jelas Tuan Ibrahim, kedua-dua fungsi tersebut disepadukan di bawah MEWA bagi memantapkan ekosistem tadbir urus air negara bagi memastikan sumber dan bekalan air mencukupi dan berkekalan.

“Kementerian juga akan mengintegrasikan sektor alam sekitar dan air,” tambahnya.

Selain itu, MEWA turut bertanggungjawab terhadap isu perubahan iklim, biokeselamatan dan juga memacu pertumbuhan ekonomi hijau.

“MEWA akan turut memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran awam serta pembudayaan tentang kepentingan alam sekitar dan air,” ujarnya lagi.

Sumber: Kementerian Alam Sekitar & Air

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.