Siakap Keli

Peruncit Luah Rasa Syukur, Rezeki Mencurah-curah Ketika PKP, Mampu Jual Lebih 1,000kg Ikan & Makanan Laut Sehari

KOTA BHARU, 2 April (Bernama) — Bagaikan rezeki mencurah-curah bagi peruncit, Nurul Hakimah Hazman dari Kampung Cherang apabila beliau mampu menjual lebih 1,000 kg ikan dan makanan laut segar setiap hari.

Menurutnya, beliau baharu sahaja membuka kedai pada 17 Mac, sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan, dan terus terdetik hati untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran dengan bayaran secara tunai bagi ikan, ayam, sotong, udang, sayur-sayuran, buah-buahan, beras, tong gas dan keperluan dapur.

“Cuma bekalan ikan dari Tok Bali, Pasir Puteh tiada pada musim ini, jadi saya mengambil alternatif turun pukul 3.00 pagi ke Besut setiap hari bagi mengambil bekalan makanan laut segar,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nurul Hakimah, 30, berkata usahanya sejak 15 hari lepas ternyata berhasil dan memberi kepuasan kepadanya apabila beliau menambah jumlah ejen penghantar daripada dua orang kepada empat orang sekarang.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara ikan yang mendapat permintaan tinggi ialah ‘ikan rakyat’ iaitu selayang, kembung, selar, cencaru dengan harga antara RM8 hingga RM10 sekilogram.

Iklan di atas talian

“Saya tidak menetapkan berapa kilogram mereka perlu tempah, tetapi saya mengenakan caj penghantaran mengikut jaraknya iaitu RM1.50 per kilometer (km) manakala RM2 per kilometer bagi jarak 10km hingga 20km termasuk di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Melor,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata selain ikan rakyat, ikan besar seperti tenggiri, siakap, kerapu dan merah, malah sotong, udang serta telur sotong mendapat sambutan biarpun harganya agak tinggi daripada RM18 hingga RM40 sekilogram.

Selain mempromosi jualan dalam laman sosial Facebook, beliau mempunyai kumpulan WhatsApp bagi memudahkan tempahan, malah ada yang tinggal di perantauan dan menempah untuk ibu bapa mereka di kampung.

“Alhamdulillah rezeki berganda semasa PKP ini adalah pemberian daripada Allah, kami bersyukur kerana dapat membantu penduduk di bandar dan kampung,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.