Siakap Keli

PM Thailand Umum ‘Perintah Berkurung’ Seluruh Negara Bermula Esok

Perintah berkurung akan dikuatkuasakan di seluruh Thailand bermula esok berikutan kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat di negara berkenaan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha menerusi siaran langsung di televisyen pada petang Khamis, berdasarkan laporan CCN.

Bermula Jumaat (3 April 2020), semua penduduk dilarang meninggalkan rumah masing-masing daripada jam 10 malam hingga 4 pagi waktu tempatan.

Namun, terdapat beberapa pengecualian seperti mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penting negara.

”Terdapat pengecualian bagi mereka yang mempunyai sebab kecemasan dan mereka yang bekerja dalam perkhidmatan perubatan, perkhidmatan kewangan, pengangkutan barangan keperluan, ubat-ubatan dan bekalan perubatan,” kata Prayut.

”Saya akan meminta orang ramai untuk tidak panik dan menyimpan barangan kerana anda masih boleh membeli barang keperluan pada waktu siang tetapi perlu melakukan langkah ketat dalam social distancing atau menjaga jarak sosial,” tambah Prayut.

Sesiapa yang didapati melanggar arahan akan dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun dan/atau denda tidak melebihi 40,000 Baht (RM 5,280).

Menurut rekod, setakat hari ini Thailand telah mengesahkan terdapat sebanyak 1,875 kes positif jangkitan Covid-19 dan 15 kes kematian di negaranya.

Sumber: CNN

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.